Kritik Pope, PKR sifatkan Trump angkuh
PKR menyatakan solidariti penuh terhadap Pope Leo XIV atas pendirian tegasnya menolak retorik peperangan yang didakwa didorong pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bersama sekutu Israel terhadap Iran.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi Biro Hal Ehwal Antarabangsa parti itu, Dr Maszlee Malik berkata suara Pope itu muncul tepat pada masanya ketika dunia berdepan risiko konflik yang semakin memuncak.
“Pada saat dunia berada di ambang konflik lebih luas, suara ini menjadi seruan jelas kepada kewarasan, kawalan diri dan penghormatan terhadap nyawa manusia,” katanya.
Menurutnya, keberanian Pope menyuarakan pandangan tersebut, termasuk menyatakan tidak gentar terhadap pentadbiran Trump, mencerminkan prinsip moral yang tinggi.
Dalam masa sama, PKR mengecam reaksi Trump terhadap pemimpin tertinggi Gereja Katolik itu, yang disifatkan sebagai tidak beradab dalam diplomasi antarabangsa.
“Bagi seorang pemimpin politik untuk melabel Pope sebagai ‘lemah terhadap jenayah’ dan ‘teruk dalam dasar luar’ hanya kerana menggesa dialog, adalah satu bentuk penghinaan,” katanya.
Maszlee berkata kenyataan sedemikian bukan sahaja mencerminkan keangkuhan politik, tetapi juga dilihat sebagai cubaan mencampuri kebebasan institusi agama.
Beliau menambah bahawa pihaknya secara konsisten mengkritik pendekatan ketenteraan unilateral oleh pentadbiran AS, yang menurutnya bercanggah dengan undang-undang antarabangsa serta Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Pendekatan agresif ini, termasuk tindakan ketenteraan sepihak, memperlihatkan kecenderungan berbahaya yang boleh menggugat kestabilan global,” katanya.
Maszlee turut merujuk kepada kritikan pemerhati antarabangsa terhadap serangan retorik terhadap Vatican, yang disifatkan sebagai tanda kelemahan moral dalam menghadapi suara yang menyeru keamanan.
Sehubungan itu, PKR menggesa masyarakat antarabangsa untuk menyokong usaha Vatican dalam meredakan ketegangan dan kembali kepada diplomasi pelbagai hala.
“Kita menyeru semua pihak untuk memilih jalan damai dan menolak sebarang bentuk provokasi yang boleh membawa kepada konflik lebih besar,” katanya.