Hafaz Quran sahaja tak cukup, Anwar nak pelajar kuasai AI juga
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan generasi al-Quran perlu melangkaui sekadar hafazan dengan menguasai ilmu moden termasuk sains dan teknologi.
Beliau berkata, kekuatan umat Islam tidak hanya terletak pada bacaan atau hafazan, sebaliknya pada penghayatan nilai al-Quran yang membentuk akhlak, kepimpinan dan pembangunan negara.
“Majlis ini bukan sekadar memperdengar ayat suci al-Quran, tetapi usaha melahirkan generasi al-Quran yang mampu menghadapi cabaran zaman,” katanya ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1447H/2026M.
Menurut Anwar, dalam dunia yang semakin mencabar termasuk konflik berpanjangan di Asia Barat, umat Islam perlu bangkit dengan kekuatan ilmu dan kesedaran yang tinggi.
Katanya, penguasaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) penting bagi memastikan umat tidak terus ketinggalan dalam arus perkembangan global.
Dalam masa sama, beliau menegaskan pendekatan pendidikan negara perlu seimbang antara kemajuan teknologi dan pegangan akidah serta nilai.
“Ini pendekatan menggapai di langit, mengakar di bumi – menguasai ilmu baharu tetapi tetap berpaksikan akidah, akhlak dan nilai,” katanya.
Sehubungan itu, kerajaan MADANI akan terus memperkasa sistem pendidikan bagi melahirkan generasi huffaz profesional yang mampu bersaing di peringkat global.
Anwar berkata usaha tersebut penting bagi memastikan Islam terus berperanan sebagai kekuatan yang membawa kemajuan, keadilan dan pembebasan.
Majlis tilawah yang diadakan setiap tahun itu dilihat sebagai platform memperkukuh jati diri umat serta memupuk kefahaman Islam yang menyeluruh dalam kalangan masyarakat.