‘Datuk Seri mari sini’, gelagat Uwais dan Aesha buat PM Anwar tersentuh hati
Aksi dua kanak-kanak memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di balik pagar Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus, Terengganu malam tadi menarik perhatian orang ramai.
Menerusi rakaman video yang tular, kedengaran lebih 10 kali kanak-kanak terbabit memanggil Perdana Menteri sebelum mereka meminta PMX datang menghampiri mereka.
“Datuk Seri mari sini,” terdengar suara mereka merayu kepada Perdana Menteri yang sedang berjalan di atas permaidani merah sambil berjabat tangan.
Rupa-rupanya mereka berdua teruja dan berhasrat untuk memberikan duit raya kepada Perdana Menteri ketika hari sudah menjengah 25 Syawal.

Anwar dalam perkongsian di media sosial hari ini mengakui bahawa beliau tersentuh hati melihat keikhlasan Uwais Al Qorni dan kakaknya Aesha Khadeeja menghulurkan duit raya.
“Dah lama dah, puluh tahun tidak dapat duit raya,” seloroh Perdana Menteri dalam klip video ringkas yang memaparkan beliau sedang berada dalam pesawat.
Ahli Parlimen Tambun berkenaan berkata demikian sejurus mengeluarkan wang kertas RM2 dan RM5 dari kedua-dua sampul duit raya yang diberikan oleh dua kanak-kanak terbabit.
Tanda kasih
Dalam catatannya, Anwar menyifatkan pemberian dua beradik itu sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur itu sebagai satu tanda kasih yang merendahkan jiwa.
“Saya anggap ia simbol kebersamaan rakyat tanpa mengira usia, saling menguatkan tatkala mendepani krisis ketika ini,” ujarnya.
Tambahnya, tindakan tersebut bukan sahaja menyentuh hatinya, malah dianggap sebagai simbol kebersamaan rakyat tanpa mengira usia dalam menghadapi cabaran semasa.
“Melihat wajah-wajah ini, terbit rasa sayu dan kasih, amanah kita adalah memastikan setiap anak Malaysia dibesarkan dengan kasih sayang, didikan baik dan peluang yang adil,” kata Perdana Menteri .
Dalam masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mendoakan kedua-dua beradik berkenaan.
“Semoga Uwais dan Aesha membesar sebagai generasi berilmu, berakhlak dan membawa kebaikan kepada keluarga serta negara,” kata tokoh Muslim yang ke-10 diiktiraf paling berpengaruh di dunia itu lagi.
BACA JUGA Pas dakwa ada ‘agamawan bergelar ustaz’ sebar fitnah isu harga minyak