Terkini mahkamah tolak permohonan batal saman keluarga Wan Ahmad Faris

Permohonan pihak defendan untuk membatalkan saman dan tuntutan yang difailkan oleh keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi hari ini.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mohd Rosli Yusoff selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak melalui prosiding secara dalam talian.

Hakim berpendapat adalah tidak munasabah untuk menganggap tuntutan plaintif sudah luput hanya berdasarkan tarikh kejadian pada Disember 2013.

Mahkamah turut mengambil kira bahawa siasatan kes berkenaan masih berjalan beberapa tahun selepas kejadian termasuk selepas prosiding inkues bermula pada Mac 2016 serta perkembangan siasatan sehingga tahun 2018.

Perkara itu dimaklumkan peguam yang mewakili plaintif, Tengku Shazuan Tengku Sarifuddin dalam sidang media hari ini, memetik laporan Berita Harian.

Allahyarham Wan Ahmad Faris dipercayai maut dibunuh di sebuah tahfiz di Kok Lanas di sini, pada Disember 2013.

Tuntutan plaintif adalah berkaitan dengan kecuaian defendan-defendan dalam menjalankan siasatan terhadap insiden kematian anak plaintif.

Plaintif diwakili barisan peguam Surendra Ananth, Dr Zulqarnain Lukman, Kelvin Ng Sin Huat, Lim Yin Shan dan Abby Si Xinyi, manakala defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Nur Ezdiani Roleb serta Siti Syuhada’ Alwi.

Mahkamah menetapkan 18 Mei depan untuk pengurusan kes, manakala 5 hingga 7 April tahun hadapan untuk perbicaraan penuh.

BACA JUGA Hafaz Quran sahaja tak cukup, Anwar nak pelajar kuasai AI juga