Hari Belia Negara 2026 angkat tema ‘Menggerak Belia’, sasar 4.5 juta penyertaan

FOTO BERITA: Majlis Pra Peluncuran Sambutan Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Kebangsaan 2026 yang disempurnakan oleh YB Dr. Mohammed Taufiq Johari,Menteri Belia dan Sukan di Lobi TM Stadium Nasional, Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. 14hb April 2026 (Selasa)

Majlis Pra Peluncuran Sambutan Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Kebangsaan 2026 berlangsung dengan penuh semangat apabila disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari di Lobi TM Stadium Nasional, Kuala Lumpur Sports City, hari ini.

Dalam ucapannya, beliau memaklumkan bahawa pra peluncuran ini merupakan langkah awal menjelang sambutan rasmi Hari Belia Negara 2026 yang akan diadakan pada 15 Mei depan di X Park, Negeri Sembilan.

Dalam sidang media selepas Majlis Pra Peluncuran, beliau memaklumkan bahawa pra peluncuran ini merupakan langkah awal menjelang sambutan rasmi Hari Belia Negara 2026 yang akan diadakan pada 15 Mei depan di X Park, Negeri Sembilan.

Menurut beliau, tema sambutan tahun ini iaitu “Menggerak Belia” mencerminkan komitmen kerajaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dalam memperkasa generasi muda sebagai penggerak perubahan serta penentu masa depan negara

“Hari Belia Negara bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi merupakan platform penting untuk memperkukuh pembangunan belia secara menyeluruh merangkumi aspek pendidikan, kepimpinan, sahsiah dan kesejahteraan mental,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa belia merupakan aset penting negara yang perlu diberi ruang lebih luas dalam proses pembuatan dasar serta pembangunan negara, selaras dengan usaha memperkasa suara generasi muda.

Tambahnya, pelbagai inisiatif telah digerakkan sebagai persediaan sambutan kali ini termasuk Kembara Jalur HBN 2026 serta program Sokongan Suara Belia yang dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia, Majlis Belia Negeri serta jabatan dan pejabat belia di seluruh negara.

Selain itu, sambutan kali ini turut diselarikan dengan inisiatif Gaya Hidup Rakan Muda khususnya Rakan Demokrasi sepanjang bulan Mei, yang akan diisi dengan pelbagai program melibatkan penyertaan belia dari pelbagai latar belakang.

Kerajaan mensasarkan penyertaan seramai 4.5 juta belia dalam sambutan tahun ini, bukan sekadar hadir sebagai peserta, tetapi memperoleh pengisian bermakna yang mampu melahirkan generasi muda berdaya saing dan berjiwa patriotik.

“Matlamat kita adalah untuk membentuk 4.5 juta pemimpin muda yang bersedia memikul tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia serta mempertahankan kepentingan negara,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan belia sebagai asas pembentukan negara yang stabil dan maju, dengan anak muda berperanan sebagai jambatan penyatuan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.