Zahid pertahan semua wakil rakyat BN akan terus sokong Anwar

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan selagi beliau menjadi Presiden UMNO dan Pengerusi BN, pihaknya akan mempertahankan semua Ahli Parlimen BN untuk terus menyokong pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri memberikan jaminan itu sebagai menjawab desas-desus mengatakan Perikatan Nasional (PN) merancang untuk menggulingkan Kerajaan Perpaduan dengan cara Ahli Parlimen meletakkan jawatan untuk memberikan laluan kepada pilihan raya kecil (PRK).

Berucap dalam Himpunan Madani di Alor Setar, Kedah malam tadi, Ahmad Zahid berkata BN dan PH berdepan cabaran tersendiri dalam membentuk kerajaan.

“Pelbagai cabaran termasuk baru-baru ini kononnya hari ini 15 orang ahli Parlimen BN nak letak jawatan, nak ada PRK.

“Saya tidak mahu mendahului hukum Allah. Insya-Allah sebagai Pengerusi BN sebagai Presiden UMNO, saya akan pertahankan semua Ahli Parlimen BN dan akan terus memberikan sokongan kepada Anwar,” katanya lapor Malaysiakini.

Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Fahmi Fadzil turut hadir dalam majlis itu.

Laporan portal theVibes sebelum ini menyebut terdapat perancangan untuk Ahli Parlimen BN meletak jawatan bagi membolehkan PRK diadakan dan mereka bakal bertanding semula sebagai pembangkang.

Menurut laporan itu, sekiranya Ahli Parlimen BN menang, mereka akan membentuk kerajaan baharu dengan sokongan Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak bagi membolehkan Pengerusi PN dilantik semula sebagai Perdana Menteri.

Laporan itu juga mendakwa perancang menjangkakan Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin akan membiayai plot itu kerana akaun bank Bersatu dibekukan.

BACA JUGA: Daim adakan pertemuan sulit dengan Hamzah, Takiyuddin dan Azmin?