IMF naikkan unjuran Malaysia ketika global makin suram
International Monetary Fund (IMF) menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.7% bagi 2026, ketika prospek ekonomi global semakin tertekan akibat lonjakan harga tenaga dan ketidaktentuan geopolitik.
Dalam laporan World Economic Outlook (WEO) April 2026, IMF turut menjangka ekonomi Malaysia berkembang 4.3% pada 2027.
Ini berbanding unjuran 4.3% untuk 2026 yang dibuat dalam edisi Januari lalu.
Semakan naik itu hadir ketika IMF pada masa sama menurunkan unjuran ekonomi global, susulan lonjakan harga minyak dan gangguan bekalan akibat konflik melibatkan Iran.
Badan itu memberi amaran ekonomi dunia berisiko menghampiri kemelesetan sekiranya konflik berlarutan dan harga minyak kekal tinggi.
Dalam senario terbaik konflik bersifat sementara, ekonomi global diunjur berkembang sekitar 3.1% pada 2026, lebih rendah berbanding jangkaan sebelumnya.
Bagi Malaysia, IMF menyifatkan pertumbuhan disokong oleh asas ekonomi domestik yang kekal berdaya tahan, termasuk permintaan dalaman dan prestasi eksport.
Penilaian itu selari dengan Bank Dunia yang sebelum ini turut menaikkan unjuran Malaysia kepada sekitar 4.4% bagi 2026, walaupun risiko luaran terus meningkat.
Sementara itu, Bank Negara Malaysia mengekalkan jangkaan pertumbuhan antara 4% hingga 5%.
Untuk rekod, ekonomi Malaysia berkembang 5.2% tahun lalu, dipacu permintaan domestik dan eksport yang kukuh.