Hadi hanya pandai kritik tanpa cadangan – AMK
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin, membidas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang disifatkannya sebagai retorik tidak membantu dalam memahami realiti ekonomi semasa.
Menurutnya, penggunaan label seperti “bebal” dan “bangang” bukan sahaja tidak membina, malah mencerminkan kegagalan memahami dasar kerajaan dalam mendepani cabaran global.
“Ini bukan sekadar bahasa yang tidak wajar, tetapi menunjukkan ketidakmampuan mengikuti perkembangan dasar ekonomi semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Danish turut mempersoalkan tindakan Hadi yang memuji negara seperti Jepun tanpa memahami konteks sebenar pendekatan ekonomi negara itu.
Katanya, Jepun melaksanakan subsidi secara bersasar kepada sektor tertentu, bukannya subsidi pukal yang membebankan fiskal negara.
“Pendekatan ini sebenarnya sedang dilaksanakan oleh kerajaan hari ini, bukan sekadar retorik tetapi reformasi yang sedang berjalan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah menggerakkan penyelarasan tindakan bagi menangani tekanan ekonomi global.
Selain itu, katanya, pelaksanaan subsidi bersasar melalui inisiatif BUDI MADANI serta peningkatan bantuan tunai diesel kepada RM400 menunjukkan komitmen kerajaan membantu golongan sasar.
“Sektor penting seperti logistik, pertanian dan perikanan turut dilindungi bagi memastikan kos tidak terus dipindahkan kepada rakyat,” katanya.
Danish turut menyifatkan pandangan bahawa Malaysia boleh terlepas daripada kesan harga minyak global sebagai tidak realistik.
“Ekonomi hari ini saling berkait di peringkat global, bukan sistem tertutup yang boleh dikawal dengan andaian mudah,” katanya.
Beliau menambah, kritikan tanpa cadangan dasar yang jelas hanya menambah kekeliruan dalam kalangan rakyat.
“Dalam keadaan dunia tidak menentu, negara perlukan kepimpinan yang berfakta dan bertanggungjawab, bukan sekadar suara bising,” katanya.