‘Malaikat di kubur nanti tanya apa kamu buat untuk rakyat, nanti YB jawab …’

Amaran keras Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menerusi satu hantaran di media sosial dilihat hanya mengundang kecaman warganet termasuk mengingatkan tentang malaikat di kubur.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu mendakwa tindakan menindas rakyat berpotensi membawa padah sekiranya berlaku perubahan kuasa pada masa hadapan.

Pemimpin Pas berkenaan bagaimanapun tidak memperincikan pihak yang dimaksudkan dalam kenyataannya.

Malah, wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu tidak memperincikan isu yang menjadi asas kepada amaran tersebut.

Namun, semakan mendapati nada tegas itu dilihat mungkin berkaitan isu penahanan reman pemilik akaun TikTok, Jorjet Myla selama tiga hari susulan cemuhan terhadap Perdana Menteri yang disifatkan berbaur hasutan.

“Semakin zalim kamu tekan rakyat, semakin luas pintu mahkamah dan pintu penjara terbuka untuk kamu selepas kamu kalah nanti.

“Fikirkanlah,” tulisnya di Facebook yang kemudiannya meraih lebih 2,000 komentar netizen setakat ini.

Menjengah ke ruangan komentar, rata-rata meninggalkan cemuhan selain mengingatkan tentang realiti keadaan ekonomi rakyat di Kelantan dan di Parlimen Pasir Mas khasnya.

Antaranya, pengguna Facebook Din Hishamudin yang membangkitkan kesukaran hidup rakyat di Kawasan parlimen diwakili Fadhli yang didakwa berdepan cabaran mendapatkan pekerjaan.

“Kadang kita nampak orang lain salah, rakyat di Pasir Mas nak cari kerja pun susah. Di alam kubur malaikat tanya apa kamu buat untuk rakyat yang pangkah kamu?

“Nanti YB jawab, saya ambil gaji bina rumah besar, rakyat pandai dia cari kerja,” perli Din.

Sementara itu, Fawaz Fathil pula mengingatkan bahawa kerajaan negeri Kelantan yang diterajui Pas gagal mencari penyelesaian tuntas berkenaan isu bekalan air bersih sehingga berlarutan selama puluhan tahun.

“Yang zalim tu kamu. Dah berapa puluh tahun rakyat Kelantan menderita masalah air?

“Kamu hanya sibuk berpolitik, sedangkan urusan rakyat Kelantan untuk mendapatkan kemudahan asas terbiar dan terabai,” tegasnya.

BACA JUGA Harga barang naik bukan sebab Malaysia lemah, ini ‘mainan’ kuasa besar – Jomo