Fitnah bantuan pesawah terbongkar: RM39 juta dah dibayar, Bang Mat dedah fakta sebenar!
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu tampil menjelaskan dakwaan kononnya kerajaan gagal menyalurkan bantuan kepada pesawah, sambil menegaskan bahawa persepsi tersebut adalah tidak tepat dan berunsur fitnah.
Menurutnya, terdapat pihak tertentu yang cuba memainkan naratif bahawa bantuan kerajaan lambat atau tidak dibayar, sedangkan hakikatnya pembayaran telah dilaksanakan mengikut proses yang ditetapkan.
“Bang Mat nak jelaskan perkara sebenar supaya rakyat mendapat gambaran yang tepat, bukan berdasarkan cerita dari mulut ke mulut atau dakwaan yang tular di media sosial tanpa semakan,” katanya yang mesra dikenali sebagai Bang Mat, hari ini.
Menerusi kenyataan dikongsikan beliau, Mohamad berkata, Kerajaan MADANI telah menaikkan Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) daripada RM100 kepada RM160 sehektar bermula musim 1/2025, sebelum diumumkan kenaikan lanjut kepada RM300 sehektar.
Jelasnya, bagi musim 1/2025, pembayaran IPKP telah selesai sepenuhnya melibatkan RM39.314 juta kepada lebih 135,000 pesawah di seluruh Semenanjung.
Sementara itu, jelasnya, bagi musim 2/2025, lebih RM27 juta telah disalurkan setakat ini, dengan baki kira-kira 30 peratus tuntutan masih dalam proses dan dijangka diselesaikan dalam masa terdekat.
“Untuk yang belum tahu, kaedah bayaran IPKP ialah “buat dulu, baru tuntut”.
“Ia tidak sama seperti bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi yang terus dikreditkan ke akaun penerima,” katanya.
Menjamin ketelusan
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, pendekatan tersebut penting bagi memastikan hanya kerja sebenar yang dilaksanakan akan dibayar, sekali gus menjamin ketelusan dalam pengurusan wang rakyat.
“Dalam setiap musim, tidak semua pesawah menanam, dan keluasan tanaman juga berbeza. Jadi tuntutan dibuat berdasarkan kerja sebenar,” katanya.
“Perlu juga faham bahawa musim penanaman padi di setiap negeri tidak seragam.
“Contohnya, ketika Kedah mula memasuki musim baharu penanaman, ada negeri lain seperti Kelantan yang masih berada di fasa menuai.
“Jadi, bayaran tidak boleh dibuat serentak kepada semua negeri pada masa yang sama,” katanya.
Selain IPKP, kerajaan juga memperkenalkan Insentif Penuaian Padi (IPP) sebanyak RM50 sehektar bermula tahun 2025, yang merupakan bantuan baharu kepada pesawah.
Dalam masa sama, beliau mengakui terdapat isu melibatkan penyedia perkhidmatan yang tidak memulangkan lebihan bayaran kepada pesawah selepas menerima bayaran daripada kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, kementerian sedang mengambil langkah penambahbaikan dan akan mengumumkan mekanisme baharu dalam masa terdekat bagi memastikan kebajikan pesawah terus terpelihara.
“Hakikatnya, bantuan telah dibayar, sedang dibayar, dan baki tuntutan akan terus diselesaikan selepas semua proses pengesahan dimuktamadkan,” kata Mohamad lagi.
BACA JUGA Berita baik! Harga diesel, RON97, RON95 turun mulai esok