Lebih sejam Mahiaddin jumpa Hadi, pemimpin Bersatu dakwa PN sedang susun langkah
Pertemuan antara Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berlangsung lebih sejam di Rusila, Marang di Terengganu.
Ketua Bersatu Terengganu, Razali Idris memaklumkan hal tersebut dan menyifatkan pertemuan kedua-dua pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu berlangsung dalam suasana cukup mesra dan penuh kesepakatan.
Beliau yang mengiringi Mahiaddin dalam kunjungan itu juga mendakwa pertemuan itu bersifat fokus kepada memperkukuh PN serta memantapkan lagi ikatan Bersatu dan Pas sebagai teras kekuatan blok pembangkang tersebut.
“Isyaratnya jelas, PN tidak lagi sekadar bersembang, tetapi sedang menyusun langkah ke hadapan untuk menawan Putrajaya dalam PRU16.
“Kesepakatan jentera mesti digerakkan dari sekarang, tidak lagi tunggu saat akhir, tersusun dan bersatu sekiranya pilihan raya dipanggil dalam masa terdekat, kita sudah berada dalam posisi paling bersedia.
“Pertemuan ini bukan simbolik, tetapi merencana gerak kerja lebih besar menuju kemenangan InsyaAllah,” katanya di Facebook hari ini.
Sebelum ini, hubungan Pas dan Bersatu dikatakan bermasalah sehingga mengakibatkan pelantikan Ketua Pembangkang masih belum diputuskan.
BACA JUGA Fitnah bantuan pesawah terbongkar: RM39 juta dah dibayar, Bang Mat dedah fakta sebenar!