Kenapa kerajaan pusat ‘lepaskan’ air Sabah sekarang?
Kerajaan memutuskan untuk menyerahkan pelaksanaan projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Sabah kepada kerajaan negeri, dalam usaha mempercepat penyampaian kemudahan asas kepada penduduk luar bandar.
Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah memaklumkan keputusan itu dibuat susulan persetujuan Jemaah Menteri pada 17 Mac lalu bagi memperkasa peranan kerajaan negeri dalam melaksanakan projek berimpak tinggi.
“Langkah ini diambil bagi mempercepatkan pelaksanaan projek melalui pemerkasaan peranan Kerajaan Negeri Sabah demi memastikan manfaat dapat disampaikan kepada masyarakat luar bandar secara lebih pantas,” menurut kenyataan kementerian hari ini.
Bagi tahun 2026, sebanyak 83 projek baharu dan sambungan di bawah program BALB Sabah telah diluluskan dengan kos keseluruhan RM4.06 bilion.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM143 juta diperuntukkan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1), Rancangan Malaysia Ketiga Belas bagi tahun ini.
Mesyuarat penyelarasan berkaitan penyerahan projek itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagi memastikan proses peralihan antara kerajaan persekutuan dan negeri berjalan lancar.
“Inisiatif ini membuktikan komitmen berterusan kementerian untuk menerajui pembangunan luar bandar serta meningkatkan kualiti hidup komuniti di Sabah,” menurut kenyataan itu lagi.
Langkah penyerahan projek ini dilihat sebagai sebahagian usaha memperkukuh tadbir urus pelaksanaan projek di peringkat negeri, di samping mempercepat penyediaan infrastruktur asas kepada rakyat.