Selangor lancar garis panduan Pusat Jagaan perkukuh ekonomi penjagaan

FOTO BERITA: Majlis Pelancaran Garis Panduan Pusat Jagaan dan Taman Asuhan Warga Emas, Kanak-Kanak dan Orang Kurang Upaya Selangor disempurnakan oleh YB Puan Michelle Mei Sze Pengerusi JKPPP merangkap ADUN Subang Jaya mewakili YB Puan Anfaal Saari, EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam, Selangor. 16hb April 2026 (Khamis)

Pelancaran tersebut menandakan komitmen Kerajaan Negeri Selangor dalam memperkukuh sektor penjagaan sebagai antara pemacu ekonomi masa depan, khususnya dalam menghadapi peralihan negeri ke arah status masyarakat menua.

Dalam teks ucapan pelancaran YB Anfaal yang dibacakan oleh YB Puan Michelle Mei Sze, beliau menegaskan bahawa garis panduan yang diperkenalkan bukan sekadar dokumen operasi, tetapi menjadi asas kepada pembinaan ekosistem penjagaan yang lebih tersusun, selamat dan mampan.

Menurut beliau, permintaan terhadap pusat jagaan warga emas, kanak-kanak dan OKU kini semakin meningkat, namun penawaran masih belum mencukupi berikutan kekangan dari segi jumlah pusat berdaftar, tenaga kerja mahir serta pematuhan piawaian yang ditetapkan.

“Justeru, garis panduan ini diwujudkan bagi membantu memperluas penawaran sektor penjagaan secara sah dan berkualiti, sekali gus menutup jurang sedia ada,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pendekatan one door policy diperkenalkan sebagai sebahagian usaha memudahkan urusan perniagaan (ease of doing business) dalam sektor penjagaan, melalui kerjasama erat antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pemain industri.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa aspek keselamatan tidak boleh dikompromi walaupun pengusaha berdepan margin perniagaan yang ketat.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa aspek keselamatan tidak boleh dikompromi walaupun pengusaha berdepan margin perniagaan yang ketat.

“Setiap piawaian yang ditetapkan adalah bagi memastikan keselamatan dan maruah insan yang dijaga sentiasa terpelihara,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan keperluan tindakan tegas terhadap pusat jagaan yang beroperasi tanpa pendaftaran, sambil menyeru usaha bersepadu untuk ‘memutihkan’ operasi pusat tidak berdaftar agar mematuhi undang-undang dan piawaian keselamatan.

Selain itu, pihak berkuasa tempatan serta agensi pengawal selia diseru memainkan peranan proaktif dalam membantu, membimbing dan mempermudah urusan pengusaha yang ingin mendaftar atau menambah baik operasi mereka.

Mengakhiri ucapan, beliau menekankan bahawa garis panduan tersebut merupakan satu komitmen moral kerajaan negeri untuk memastikan setiap warga emas, kanak-kanak dan OKU di Selangor mendapat penjagaan yang selamat, berkualiti dan bermaruah, sejajar dengan aspirasi membina negeri yang berdaya huni dan inklusif.
