Gencatan senjata tak ubah seperti perang – Iran

Jurucakap tentera Iran berkata negara itu kekal berada dalam keadaan kesiapsiagaan tinggi, sambil menegaskan bahawa situasi semasa tidak banyak berbeza daripada keadaan perang walaupun terdapat gencatan senjata.

Menurut Mohammad Akrami Nia, Iran berdepan keadaan luar biasa tahun ini dan mengambil pendekatan berwaspada terhadap sebarang kemungkinan ancaman.

“Kami berdepan keadaan khas tahun ini. Gencatan senjata secara praktikal tidak berbeza daripada keadaan perang bagi kami; kami sentiasa bersedia,” katanya dalam satu program televisyen tempatan, seperti dilaporkan Anadolu Agency.

Beliau turut mendedahkan bahawa Panglima Angkatan Tentera Iran, Amir Hatami, telah mengarahkan pasukan keselamatan untuk bertindak tegas sekiranya berlaku serangan darat terhadap negara itu.

“Jika terdapat serangan darat, kami mesti bertindak balas secara tegas dan memastikan tiada seorang pun penyerang terselamat,” katanya.

Kenyataan itu mencerminkan pendirian tegas Tehran dalam menghadapi ketegangan serantau yang berterusan, khususnya di tengah konflik yang masih belum reda di Asia Barat.