Trump kata nak ‘call’, Beirut pula kata tak tahu

Pihak berkuasa Lubnan menafikan mempunyai sebarang maklumat mengenai dakwaan perbualan antara kepimpinan negara itu dengan Israel, selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyatakan rundingan itu bakal berlaku.

Dua sumber rasmi Lubnan berkata tiada pengesahan setakat ini mengenai kemungkinan panggilan antara presiden Lubnan dan pihak Israel.

“Kami tidak mempunyai sebarang maklumat pada masa ini mengenai kemungkinan panggilan antara presiden Lubnan dan pihak Israel,” kata sumber itu seperti dilaporkan Anadolu Agency.

Terdahulu, Trump mendakwa usaha sedang dilakukan bagi meredakan ketegangan antara kedua-dua negara, malah menyebut perbualan itu bakal berlangsung dalam masa terdekat.

Perkembangan itu menyusul selepas pertemuan diplomatik di Washington melibatkan Duta Lubnan, Nada Hamadeh, dan Duta Israel, Yechiel Leiter, yang dihoskan oleh Setiausaha Negara AS, Marco Rubio.

Turut hadir ialah Duta AS ke Lubnan, Michel Issa, Kaunselor Jabatan Negara, Michael Needham, serta Duta AS ke PBB, Mike Waltz.

Namun, kumpulan Hezbollah tidak terlibat dalam pertemuan tersebut dan dilaporkan menolak usaha berkenaan.

Di pihak Israel, Menteri Sains, Gila Gamliel, berkata Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, dijangka mengadakan panggilan telefon dengan Presiden Lubnan, Joseph Aoun.

Bagaimanapun, tiada pengesahan rasmi daripada pegawai kanan Israel setakat ini.

Ketegangan terus memuncak apabila Israel dilaporkan meneruskan serangan di selatan Lubnan susulan serangan rentas sempadan oleh Hezbollah pada 2 Mac lalu, walaupun terdapat perjanjian gencatan senjata pada November 2024.

Pihak berkuasa kesihatan Lubnan memaklumkan lebih 2,000 orang terbunuh dan lebih sejuta penduduk terpaksa berpindah sejak Mac akibat konflik tersebut.