Jagung tempatan jadi ‘senjata’ baharu! Bang Mat sasar kurang import secara agresif

Usaha mengurangkan kebergantungan negara terhadap import jagung kini memasuki fasa baharu apabila kerajaan memberi tumpuan serius kepada pengeluaran benih jagung tempatan berkualiti tinggi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, inisiatif tersebut digerakkan menerusi penyelidikan dan pembangunan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Beliau yang mesra dipanggil Bang Mat berkata, Plot Jagung MARDI di MARDI Seberang Perai memberikan tumpuan kepada pengeluaran benih berkualiti serta pembangunan jagung bijian khusus untuk makanan haiwan.

“Ini merupakan langkah strategik dalam memperkukuh rantaian bekalan makanan negara, khususnya bagi sektor ternakan yang sangat bergantung kepada jagung bijian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, kebergantungan kepada jagung import mendedahkan negara kepada risiko ketidaktentuan harga global serta gangguan bekalan, lebih-lebih lagi dalam keadaan krisis dunia ketika ini.

“Sebab itu, usaha yang dilaksanakan oleh MARDI ini amat penting.

“Kita mahu tingkatkan pengeluaran dalam negara, kurangkan kebergantungan kepada import, dan pada masa yang sama bantu petani tempatan meningkatkan pendapatan,” kata Mohamad lagi.

Untuk rekod, kerajaan menyasarkan pengurangan kebergantungan import jagung bijian sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang 2040, selaras dengan agenda keterjaminan makanan negara.

Malaysia mengimport secara purata 2.5 juta tan metrik jagung bijian setahun dengan nilai melebihi RM3 bilion sepanjang tempoh 2010 hingga 2024.

BACA JUGA Larangan media sosial bawah 16 tahun dijangka Jun atau Julai