Padah salah guna AI, gadis ini boleh disumbat ke penjara sehingga 2 tahun

Video memaparkan dua anggota polis lelaki mengiringi dan memegang tangan seorang wanita dipercayai bergari di hadapan bangunan tertera Balai Polis Merlimau rupanya hasil teknologi kecerdasan buatan (AI).

Susulan itu, pemilik akaun TikTok dikenali sebagai Najie@atynjiehah yang memuat naik video itu kini berdepan siasatan polis di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert, berkata pihaknya membuka kertas siasatan terhadap gadis berkenaan susulan laporan diterima daripada pengadu yang juga seorang pegawai polis di Balai Polis Merlimau, jam 1.04 tengah hari tadi.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati video itu dipercayai dihasilkan menggunakan teknologi AI sebelum dimuat naik di aplikasi TikTok.

Menurutnya, laporan dibuat kerana kandungan itu berpotensi mencemarkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta balai polis berkenaan.

Jelasnya, kes disiasat kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian, termasuk penyebaran kandungan palsu atau jelik.

“Siasatan turut menjurus kepada Seksyen 500 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan fitnah jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” kata beliau lagi, dipetik BH.

BACA JUGA Di sebalik hubungan akrab, nak eksport minyak ke Australia, tunggu dulu – PMX