Heboh Tokti kemalangan di Lebuhraya MEX, bengkak di kaki

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan empat kenderaan di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) petang tadi.

Pengurusnya, Rozi Abd Razak berkata, kejadian mengejutkan itu berlaku ketika beliau dalam perjalanan pulang selepas selesai mengadakan persembahan di Sepang.

“Ramai yang menghubungi kami bertanya tentang Siti Nurhaliza. Kami, dua kereta baru selesai mengadakan persembahan di RedQ AirAsia Sepang dan sewaktu melalui lebuh raya MEX (KM14.2), berlaku kemalangan.

“Empat kereta terlibat termasuk kereta yang dinaiki Siti dan saya serta Fairuz berada berjarak beberapa kereta di belakang.

“Kami membawa Siti keluar dari kereta yang kemalangan dan masuk ke dalam kereta kami,” katanya menerusi kemas kini di laman Instagram.

Sementara itu, Siti menerusi hantaran Instagram miliknya memberitahu beliau bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius.

Biduanita Negara itu berkata, keadaanya stabil tetapi mengalami bengkak pada bahagian kaki.

“Terima kasih atas doa semua. Saya akui agak terkejut dengan apa yang berlaku, namun Alhamdulillah, tiada kecederaan serius.

“Cuma kaki saya bengkak dan bimbang jika ada koyakan pada ligamen.

“Saya sudah menjalani pemeriksaan X-ray dan kaki pun telah dibalut.

“Sekarang saya perlu berehat dan berharap agar cepat sembuh,” katanya yang mesra dipanggil Tokti menerusi hantaran tersebut.

BACA JUGA Padah salah guna AI, gadis ini boleh disumbat ke penjara sehingga 2 tahun