AS ugut sekat bank China, Beijing balas: ‘Ini sekatan haram ’
China mengecam ancaman Amerika Syarikat untuk mengenakan sekatan sekunder terhadap dua bank negara itu, dengan menyifatkannya sebagai tindakan unilateral yang tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa.
Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun, berkata sebarang sekatan tanpa kebenaran Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu adalah tidak boleh diterima.
“China menentang sekatan unilateral yang tidak sah tanpa kebenaran Majlis Keselamatan PBB,” katanya dalam sidang media di Beijing.
Kenyataan itu dibuat selepas Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, memberi amaran bahawa Washington bersedia mengenakan sekatan sekunder sekiranya terdapat bukti aliran dana Iran melalui bank-bank China.
Menurutnya, surat telah dihantar kepada dua bank berkenaan dengan memberi amaran tindakan tersebut.
Bessent turut mendakwa China sebelum ini membeli lebih 90 peratus minyak Iran, yang merangkumi kira-kira lapan peratus daripada keperluan tenaga negara itu.
Dalam masa sama, beliau berkata sekatan AS di Selat Hormuz dijangka menjejaskan pembelian minyak China.
Langkah itu susulan tindakan Washington mengenakan sekatan maritim terhadap pelabuhan Iran selepas rundingan langsung antara AS dan Iran di Pakistan gagal mencapai persetujuan untuk menamatkan konflik yang bermula pada 28 Februari lalu.
Sementara itu, laporan South China Morning Post menyebut China terus mempelbagaikan rizab pertukaran asingnya pada Februari, termasuk mengurangkan pegangan bon Perbendaharaan AS.
Perkembangan itu mencerminkan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat antara Washington dan Beijing, khususnya dalam konteks perdagangan tenaga dan sekatan ekonomi.