PMX nak lahir ‘jaguh’ Bumiputera RM500 juta?

Kerajaan MADANI menyasarkan peningkatan pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) sehingga RM2 bilion serta menjayakan sekurang-kurangnya 10 penyenaraian awam baharu (IPO) dalam usaha memperkasa ekonomi Bumiputera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sasaran itu digerakkan melalui pengukuhan komuniti Bumiputera Commercial and Industrial Community sebagai sebahagian agenda pemerkasaan usahawan Bumiputera.

“Kita menetapkan sasaran yang lebih berani meningkatkan pelaburan GLIC sehingga RM2 bilion serta menjayakan sekurang-kurangnya 10 penyenaraian awam baharu,” katanya pada  Sesi Meja Bulat Bersama Usahawan Bumiputera di Putrajaya.

Menurutnya, usaha itu turut menyasarkan kelahiran “Jaguh Bumiputera” yang mampu mencapai nilai syarikat sehingga RM500 juta dalam tempoh lima tahun.

“Ini bukan sekadar angka, tetapi lambang tekad untuk mengangkat martabat ekonomi Bumiputera ke tahap yang lebih mapan dan berdaya saing,” katanya.

Inisiatif tersebut dibincangkan dalam satu sesi meja bulat pemerkasaan usahawan Bumiputera yang menjadi platform untuk memperhalusi pendekatan dasar sedia ada.