Ubat kritikal cukup ke tak? Ikuti apa jawapan KKM
Bekalan ubat-ubatan kritikal termasuk insulin dan vaksin di negara ini kekal stabil dan mencukupi setakat ini, kata Kementerian Kesihatan Malaysia.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perkhidmatan Farmasi), Azuana Ramli, berkata pemantauan rapi dilaksanakan melalui jawatankuasa khas yang melibatkan kementerian dan pihak industri bagi memastikan sebarang gangguan dapat dikesan lebih awal.
“Kita ada jawatankuasa yang memantau paras stok secara bersama… jadi kita boleh kenal pasti lebih awal jika ada gangguan bekalan,” katanya. Da
Menurutnya seperti dipetik menerusi program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, mekanisme perkongsian maklumat itu membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti stok kritikal lebih awal, termasuk apabila bekalan berada pada paras antara 60 hingga 90 hari.
“Bila kita tahu stok mana ada isu, kita boleh ambil tindakan,” katanya.
Mengulas kebimbangan terhadap bekalan insulin, beliau berkata rawatan pesakit diabetes tidak terjejas kerana terdapat pilihan alternatif termasuk insulin analog dan ubat tablet.
“Walaupun berlaku kekurangan insulin, rawatan pesakit tetap diteruskan… bekalan ubat-ubatan masih stabil dan terkawal,”katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan, P. Muralitharan, berkata bekalan peranti perubatan di negara ini juga masih mencukupi walaupun terdapat gangguan kecil dalam rantaian bekalan global.
Beliau berkata antara peranti yang terkesan termasuk kit ujian makmal dan reagen, selain barangan pakai buang seperti sarung tangan, pelitup muka serta peralatan pembedahan, namun tahap kekurangan itu tidak signifikan.
“Gangguan kecil ini kita pantau dan tangani supaya tidak menjejaskan perkhidmatan kesihatan,”katanya.
Menurutnya, mekanisme Special Access Pathway (SAP) turut digunakan bagi membolehkan akses segera kepada peranti perubatan tertentu yang belum didaftarkan sepenuhnya, tertakluk kepada penilaian ketat keselamatan dan kualiti.
Langkah itu, katanya, bukan sahaja membantu memastikan kesinambungan bekalan, malah mengurangkan kebergantungan negara terhadap import peranti perubatan dalam jangka panjang.