KPKM puji inisiatif kerajaan Selangor, seru negeri lain tampil bantu sektor agromakanan

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyambut baik komitmen kerajaan Selangor yang memperuntukkan RM25 juta untuk sektor pertanian, yang dijangka memanfaatkan lebih 17,000 pesawah, nelayan, petani, penternak dan pengusaha akuakultur di negeri tersebut.

Peruntukan tersebut adalah antara inisiatif kerajaan negeri menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dengan peruntukan berjumlah RM131 juta bagi mendepani cabaran semasa, khususnya kesan krisis tenaga global yang memberi tekanan kepada kos pengeluaran sektor agromakanan.

Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah kerajaan Selangor ini melengkapi pelbagai inisiatif Kerajaan Persekutuan dalam membantu golongan sasar di seluruh negara. 

Antaranya termasuk peningkatan Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) sehingga RM300 sehektar, bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi sehingga RM400 sebulan kepada petani dan pekebun kecil, serta pelaksanaan subsidi diesel bersasar bagi sektor agromakanan.

“Dalam menghadapi krisis tenaga global yang berpanjangan, pendekatan menyeluruh yang melibatkan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri adalah amat diperlukan. 

“Sinergi ini bukan sahaja memastikan bantuan dapat disampaikan secara lebih cekap dan menyeluruh, malah memperkukuh daya tahan rantaian bekalan makanan negara daripada peringkat pengeluaran hingga ke pengguna,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Sehubungan itu, KPKM mengalu-alukan lebih banyak kerajaan negeri tampil mengambil langkah proaktif dalam membantu golongan sasar sektor agromakanan.

Pendekatan kebersamaan ini kata beliau, amat penting bagi memastikan pesawah, nelayan, petani, penternak dan pengusaha akuakultur terus berdaya tahan, sekali gus menjamin kestabilan bekalan makanan negara dalam tempoh krisis ini.

KPKM yakin bahawa gabungan usaha Persekutuan dan negeri ini akan memberi impak yang signifikan dalam melindungi kebajikan pemain industri agromakanan serta memastikan keterjaminan makanan negara terus kekal terpelihara dalam apa jua keadaan.

BACA JUGA Satu kapal rosak…PM kongsi status terkini lima kapal Malaysia di Selat Hormuz