‘Permintaan Fahmi supaya minta maaf pun ambo tak layan’ – ADUN Pas
Exco Terengganu, Datuk Dr Azman Ibrahim dilihat seakan berbangga apabila memberitahu sehingga kini beliau tidak melayan permintaan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil untuk membuat permohonan maaf.
Fahmi menuntut permohonan maaf kerana pemimpin Pas itu membuat tuduhan tidak berasas terhadap kerajaan selain mengeluarkan kenyataan kononnya “minyak Malaysia tidak lalu Selat Hormuz”.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu berkata, beliau juga tidak menurunkan atau memadam sebarang hantaran di laman sosial Facebook yang dibuatnya sebelum ini.
“Permintaan Fahmi supaya minta maaf pun ambo tak layan. Tiada posting yang ambo turunkan atau padam,” katanya di Facebook.
Sebelum itu Azman berkata, beliau menerima pertanyaan sama ada beliau termasuk dalam kalangan individu yang disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membabitkan penyebaran kandungan palsu berkaitan krisis tenaga global.
“Kawan-kawan tanya, YB kena juga ke? Ambo tak tahu apa-apa. Tiada notis dari SKMM. Tak tahu kalau ada laporan polis terhadap ambo,” ujarnya.
Pada 10 April lalu, Azman mempertahankan kenyataan Presiden Pas bahawa kenaikan harga minyak tidak sepatutnya berlaku kerana Malaysia mengeluarkan bekalan minyak sendiri.
ADUN Pas itu mempersoalkan kenapa kerajaan perlu menunggu kapal tangki melalui Selat Hormuz untuk menurunkan harga minyak, kerana dakwanya, minyak Malaysia sebenarnya tidak melalui perairan tersebut.
BACA JUGA ADUN Pas pertahan Hadi Awang, dakwa minyak Malaysia tak lalu Selat Hormuz