Ramai nampak harga minyak naik, tapi tak nampak apa jadi di belakang…ini yang berlaku sebenarnya
Ketika harga bahan api terus meningkat, ramai masih belum memahami apakah punca sebenar di sebalik lonjakan yang berlaku.
Lonjakan harga petroleum ketika ini bukan berpunca daripada kenaikan harga minyak mentah semata-mata, sebaliknya didorong tekanan kos global susulan konflik di Asia Barat.
Menurut infografik dikongsikan Kementerian Kewangan, konflik berkenaan telah meningkatkan risiko terhadap rantaian bekalan petroleum dunia, sekali gus menyebabkan kos penghantaran dan premium insurans melonjak dengan ketara.

Sebagai contoh, premium insurans meningkat sehingga 17 kali ganda berbanding sebelum konflik selepas Asia Barat diklasifikasikan sebagai zon berisiko tinggi.
Dalam masa sama, kos penghantaran pula meningkat sehingga tiga kali ganda, didorong oleh kenaikan harga minyak serta perubahan laluan kapal bagi mengelakkan kawasan konflik.
Keadaan itu menyaksikan peningkatan kos di sepanjang rantaian bekalan dan penapisan petroleum yang jauh melebihi kenaikan harga minyak mentah, sekali gus memberi kesan kepada harga runcit di pam.
Dalam situasi luar biasa tersebut, kerajaan menegaskan komitmen untuk melindungi rakyat apabila semua warganegara Malaysia yang mempunyai lesen memandu aktif terus menikmati harga RON95 di bawah program BUDI MADANI pada kadar RM1.99 seliter.
Selain itu, bantuan BUDI Diesel turut ditingkatkan kepada RM400 bagi April 2026, iaitu kenaikan kali kedua daripada kadar asal RM200.

BACA JUGA ‘Permintaan Fahmi supaya minta maaf pun ambo tak layan’ – ADUN Pas