Rumah Terbuka Iltizam Aidilfitri Taman Medan meriah, MB Selangor sentuh isu kos sara hidup

FOTO BERITA: Majlis Rumah Terbuka Iltizam Aidilfitri 2026 bersama Tuan Halimey Abu Bakar, Penyelaras DUN Taman Medan bersama En. Hee Loy Sian Ketua Cabang Petaling Jaya. Jemputan istimewa YAB Dato’ Menteri Besar Selangor di Dataran Anak Muda PJS 1, Jalan PJS 1/25, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya, Selangor. 18hb April 2026 (Sabtu)

Program anjuran Penyelaras DUN Taman Medan, Tuan Halimey Abu Bakar itu turut dihadiri Ketua Cabang Petaling Jaya, En. Hee Loy Sian, serta pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan dan masyarakat setempat. Majlis ini juga diserikan dengan kehadiran jemputan istimewa, YAB Dato’ Menteri Besar Selangor.

Dalam ucapannya, Menteri Besar merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir dan menzahirkan rasa syukur kerana dapat bersama masyarakat dalam suasana Aidilfitri yang penuh kemesraan.

Beliau berkata, sambutan Aidilfitri bukan sekadar tradisi, tetapi simbol kejayaan umat Islam menempuh cabaran sepanjang Ramadan serta peluang untuk memperkukuh perpaduan masyarakat.

Menyentuh situasi semasa, beliau menjelaskan bahawa konflik di Timur Tengah memberi kesan kepada ekonomi global, khususnya harga minyak dan gas, yang seterusnya memberi tekanan kepada kos sara hidup rakyat.

“Walaupun terdapat perkembangan positif seperti pembukaan semula Selat Hormuz dan usaha damai, ia belum menjamin kestabilan jangka pendek. Oleh itu, kerajaan negeri dan persekutuan sedang berusaha memastikan kesan kenaikan harga tidak membebankan rakyat,” katanya.

Menurut beliau, antara langkah utama Kerajaan Persekutuan adalah mengekalkan subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter, meskipun harga pasaran sebenar melebihi RM3.60, dengan perbelanjaan sekitar RM7 bilion.

“Keputusan memberi tumpuan kepada RON95 dibuat kerana majoriti rakyat di Semenanjung menggunakan petrol berbanding diesel. Ini bagi memastikan manfaat subsidi sampai kepada golongan terbesar,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Selangor turut mengumumkan pakej bantuan bernilai RM131 juta bagi membantu rakyat menghadapi kemungkinan kenaikan harga barangan dalam tempoh terdekat.

Antara inisiatif utama ialah penambahan peruntukan Program Jelajah Ehsan Rahmah, yang kini dipertingkatkan bagi memastikan setiap DUN menerima sekurang-kurangnya dua siri jualan barangan keperluan pada harga subsidi.

“Selangor menjadi negeri pertama yang mengumumkan pakej menyeluruh bagi melindungi kebajikan rakyat dalam situasi ekonomi mencabar ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa hasil negeri meningkat daripada RM2.3 bilion kepada RM3 bilion pada akhir tahun 2025, dan lebihan tersebut dikembalikan kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif kebajikan.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri juga meningkatkan bantuan kepada jemaah haji Muassasah daripada RM1,000 kepada RM1,500 bagi tahun ini, melibatkan kira-kira 6,000 jemaah. Selain itu, seramai 72 jemaah turut ditaja sepenuhnya oleh kerajaan negeri sebagai usaha membantu golongan yang memerlukan menunaikan ibadah haji.

Sementara itu menurut Penyelaras DUN Raman Medan Tuan Halimey, sambutan pada tahun ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan sokongan berterusan masyarakat setempat terhadap penganjuran program seumpama ini.

“Alhamdulillah, sejak tiga tahun lalu saya berada di Taman Medan, kita dapat lihat peningkatan jumlah kehadiran. Tahun lalu kita sediakan sekitar 1,000 juadah dan habis sepenuhnya. Tahun ini kita tambah kepada 1,500 hidangan, dan setakat tengah hari, kehadiran sudah mencecah hampir 800 orang,” katanya.

Beliau turut memaklumkan beberapa penambahbaikan dilakukan bagi keselesaan pengunjung termasuk penyediaan dua stesen hidangan berbanding satu sebelum ini, bagi mengelakkan kesesakan.

“Jika tahun lalu hanya satu stesen, kali ini kita sediakan dua lokasi — di bahagian atas dan bawah — supaya orang ramai dapat menikmati juadah dengan lebih selesa tanpa perlu berasak,” jelasnya.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran pelbagai pemimpin tempatan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr. Hafif, sebagai tanda hubungan baik merentas perbezaan ideologi politik.

Dalam perkembangan lain, Halimey turut menggalakkan penduduk mengambil peluang mendaftar bagi insentif khas haji Muassasah yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

“Setakat ini, kita telah menerima kira-kira 50 pendaftaran. Saya menyeru penduduk yang layak supaya tidak melepaskan peluang menerima bantuan sebanyak RM1,500 daripada kerajaan negeri,” katanya lagi.

Selain itu, beliau memaklumkan pihaknya akan menganjurkan Program Anugerah Kecemerlangan Pelajar SPM 2025 dalam masa terdekat, sebagai penghargaan kepada pelajar cemerlang di kawasan DUN berkenaan.

Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh harmoni itu turut diisi dengan persembahan ringan serta jamuan Aidilfitri, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat setempat.