MB Selangor dedah bantuan 100 kontena ke Gaza, solidariti berterusan untuk Palestin

FOTO BERITA: Majlis Aidilfitri 2026 bersama YB Abbas Azmi ADUN Seri Serdang dan YB Puan Yeo Bee Yin Ahli Parlimen Puchong. Turut hadir Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari, YB Dato’ Ir. Izham Hashim, YB Tuan Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid ADUN Batu Tiga di Dewan Serbaguna MBSA, Putra Permai Lestari Perdana, Seri Kembangan, Serdang, Selangor. 18hb April 2026 (Sabtu)

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menegaskan kepentingan kestabilan, perpaduan dan kesiapsiagaan kerajaan dalam menghadapi ketidaktentuan global ketika berucap pada Majlis Aidilfitri 2026 di Dewan Serbaguna MBSA, Putra Permai Lestari Perdana, di sini malam tadi.

Dalam ucapannya, Amirudin memaklumkan beliau baru sahaja menyempurnakan misi kemanusiaan ke Rafah dan Barcelona bagi membantu rakyat Palestin, termasuk penghantaran hampir 100 kontena bantuan sejak 2024 melalui kerjasama kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Baru-baru ini, sempena Ramadan dan Aidilfitri, kita juga telah menghantar kira-kira 40,000 tin makanan kepada rakyat Gaza sebagai tanda solidariti,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa rakyat Malaysia dijangka berdepan tekanan kenaikan harga barangan dalam tempoh beberapa bulan akan datang susulan konflik antarabangsa yang menjejaskan bekalan minyak dan gas dunia, khususnya melibatkan laluan strategik seperti Selat Hormuz.

Menurutnya, walaupun kesan tersebut belum dirasai sepenuhnya di negara ini, kerajaan persekutuan dan negeri telah mengambil langkah awal bagi mengurangkan impak kepada rakyat. “Alhamdulillah, setakat ini bekalan minyak negara masih mencukupi hasil pengurusan yang baik serta dasar bersasar seperti subsidi diesel mengikut keperluan negeri,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan pakej awal berjumlah RM131 juta sebagai langkah persediaan menghadapi kemungkinan krisis ekonomi yang lebih mencabar menjelang pertengahan tahun ini. Katanya, jumlah itu dijangka meningkat sehingga hampir RM200 juta dengan sokongan anak-anak syarikat kerajaan negeri, bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

“Kerajaan tidak menunggu krisis berlaku. Kita merancang lebih awal berdasarkan data dan unjuran supaya tekanan kepada rakyat dapat diserap sebaik mungkin,” ujarnya. Tambah beliau, antara pendekatan jangka panjang yang akan diberi penekanan termasuk memperluas penggunaan pengangkutan awam, meningkatkan kecekapan tenaga serta membudayakan gaya hidup lestari.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa konflik dan ketidakstabilan politik hanya akan membawa kesan buruk kepada negara, merujuk pengalaman Malaysia berdepan ketidaktentuan politik sekitar tahun 2020 hingga 2022. “Kestabilan politik yang kita kecapi hari ini adalah asas kepada pemulihan ekonomi. Sebab itu keutamaan saya adalah memastikan Selangor kekal stabil, harmoni dan menjadi negeri untuk semua,” katanya lagi.

Sementara itu menurut Abbas, majlis tersebut berjaya menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum di kawasan perumahan campuran Melayu dan Cina, sekali gus mencerminkan keharmonian komuniti setempat yang mempunyai kira-kira 22,000 pengundi.

“Walaupun hujan pada awal majlis, Alhamdulillah cuaca kembali baik dan kehadiran orang ramai amat menggalakkan. Kita jangkakan lebih 3,000 pengunjung hadir malam ini,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut memberi perhatian terhadap isu kesesakan lalu lintas yang sering dihadapi penduduk sekitar Putra Permai dan Equine Park.

Beliau turut memberi perhatian terhadap isu kesesakan lalu lintas yang sering dihadapi penduduk sekitar Putra Permai dan Equine Park. Jelasnya, beberapa projek infrastruktur telah diluluskan bagi mengurangkan kesesakan tersebut, termasuk pembinaan dua jejambat (flyover) di hadapan kawasan komersial berhampiran Giant dengan anggaran kos RM280 juta di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Projek ini kini di peringkat perundingan dan dijangka memasuki fasa pembinaan fizikal menjelang hujung tahun 2027,” ujarnya. Selain itu, satu lagi projek laluan penghubung antara Kota Perdana dan kawasan sekitar turut diluluskan dengan kos RM22 juta, yang akan dilaksanakan oleh pihak berkaitan bagi melancarkan aliran trafik.

Tambah beliau, beberapa cadangan lain termasuk pembinaan laluan pusingan U berhampiran stesen MRT juga sedang dalam perbincangan bersama pihak berkuasa tempatan dan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Keseluruhan projek yang dirancang dan sedang dibincangkan ini dianggarkan mencecah puluhan juta ringgit, sebagai usaha berterusan menyuraikan kesesakan lalu lintas di kawasan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Abbas memaklumkan pihak penganjur menyediakan juadah untuk kira-kira 2,500 tetamu, namun sambutan luar jangka menyebabkan kehadiran meningkat sehingga hampir 3,000 orang.

Majlis tersebut berlangsung dalam suasana penuh muhibah, dengan para pengunjung mengambil peluang untuk beramah mesra serta mengeratkan silaturahim bersama pemimpin setempat.