AWAN lancar kempen “Red Ribbon for Humanity”, bantah undang-undang hukuman ati Israel

FOTO BERITA: Sidang Media & Majlis Pelancaran Kempen Reben Merah Kemanusiaan (Red Ribbon for Humanity) oleh Datuk Aiman Athirah Sabu Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) di Wisma Amanah Negara, Kuala Lumpur. 19hb April 2026 (Ahad)

Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN), Aiman Athirah Sabu hari ini memimpin sidang media sempena Majlis Pelancaran Kempen Red Ribbon for Humanity di Wisma Amanah Negara, dengan menegaskan bantahan keras terhadap kelulusan undang-undang hukuman mati oleh Parlimen Israel yang disifatkan sebagai tidak adil dan melanggar prinsip hak asasi manusia sejagat.

Menurut beliau, undang-undang yang diluluskan baru-baru ini membolehkan pelaksanaan hukuman mati dalam tempoh 90 hari selepas sabitan terhadap tahanan rakyat Palestin yang dituduh melakukan keganasan. Katanya, definisi keganasan yang digunakan amat luas dan berpotensi disalah tafsir, sekali gus membolehkan mana-mana rakyat Palestin yang menentang pendudukan dianggap sebagai pengganas.

“Undang-undang ini jelas bersifat diskriminasi kerana ia terpakai hampir sepenuhnya kepada tahanan Palestin yang kini dianggarkan mencecah 10,000 orang. Mahkamah tentera Israel pula hanya mengadili rakyat Palestin, bukan warga Israel. Ini bertentangan dengan prinsip keadilan sejagat,” katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan undang-undang tersebut turut melibatkan perubahan dalam sistem penjara, termasuk pengasingan tahanan yang dijatuhi hukuman mati serta sekatan akses terhadap mereka sepanjang proses pelaksanaan hukuman.

AWAN berpandangan langkah itu sebagai kemunduran besar dalam sistem keadilan global, lebih-lebih lagi ketika banyak negara dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sendiri telah mengambil pendirian menolak hukuman mati.

Sehubungan itu, AWAN menyeru masyarakat antarabangsa agar tidak sekadar mengeluarkan kenyataan bantahan, sebaliknya mengambil tindakan tegas bagi memberi tekanan kepada Israel supaya membatalkan undang-undang berkenaan.

“Pelaksanaan undang-undang ini berpotensi menjadi satu lagi jenayah perang dan akan terus memburukkan konflik berpanjangan di Palestin serta rantau Timur Tengah,” ujarnya.

Dalam sidang media sama, AWAN turut mengajak rakyat Malaysia dan komuniti antarabangsa untuk menyokong kempen Red Ribbon for Humanity sebagai simbol solidariti terhadap rakyat Palestin serta usaha memperjuangkan keadilan tanpa diskriminasi.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim atas inisiatif bantuan kemanusiaan termasuk penghantaran misi bantuan ke Gaza.

AWAN menegaskan bahawa setiap nyawa manusia mempunyai nilai yang sama dan tidak seharusnya dinafikan haknya oleh mana-mana sistem perundangan. Justeru, semua pihak diseru untuk menyatakan pendirian secara tegas, meningkatkan tekanan diplomatik, mempertahankan prinsip hak asasi manusia, serta memperkukuh kesatuan dalam menolak segala bentuk diskriminasi.

Kempen ini dijangka akan diperluaskan ke seluruh negara dalam usaha meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap isu kemanusiaan di Palestin.