Sambutan Aidilfitri DUN Sentosa meriah, perpaduan komuniti jadi teras

FOTO BERITA: Majlis Sambutan Hari Raya Peringkat DUN Sentosa. Hadir sama YB Dr. Gunaraj George ADUN Sentosa di Padang Komuniti, Jalan Samarinda 6, Taman Kandis Permai, Klang, Selangor. 19hb April 2026 (Ahad)

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, YB Dr. Gunaraj George dalam ucapannya menzahirkan rasa syukur kerana dapat bersama-sama meraikan Aidilfitri dalam suasana penuh muhibah bersama masyarakat pelbagai lapisan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para tetamu kehormat yang hadir termasuk wakil pimpinan tempatan, pegawai khas, serta pemimpin masyarakat seperti Saudara Azmi Jusof, Dato’ Rauf dan Dato’ Rahim Buang, selain kehadiran delegasi Sogo Kakai Malaysia yang diketuai Saudara

Dalam masa sama, beliau memberi penghargaan khas kepada barisan jawatankuasa penganjur dan sukarelawan yang telah bertungkus-lumus selama beberapa minggu bagi memastikan kejayaan program tersebut. Sebagai tanda penghargaan, beliau menjemput mereka tampil ke hadapan untuk diraikan oleh para hadirin.

Menurut beliau, penganjuran majlis berskala besar di Taman Kandis Permai merupakan satu pencapaian bermakna kerana kawasan itu sebelum ini jarang menjadi lokasi program komuniti besar. Sejak tahun 2018, katanya, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak DUN Sentosa dan Parlimen Kota Raja untuk meningkatkan kemudahan serta kebajikan penduduk di kawasan berkenaan.

“Suasana di Taman Kandis Permai ini sangat istimewa, seolah-olah seperti sebuah kampung yang penuh dengan semangat kerjasama dan perpaduan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan atas kehadiran dan peranan mereka dalam memastikan keselamatan serta kelancaran majlis.

Mengakhiri ucapan, beliau berharap sambutan seperti ini dapat terus menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk persefahaman serta memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.

Sementara itu dalam ucapan pengarah program dan juga Ahli Majlis Roy Nyaneswaran menyatakan penghargaan kepada YB Dr. Gunaraj George atas kepercayaan yang diberikan untuk beliau bekerjasama rapat dengan penduduk Taman Kandis Permai. Menurut beliau, kawasan tersebut bukan sekadar tempat bertugas, malah telah menjadi “rumah kedua” yang dekat di hati.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada seluruh jawatankuasa penganjur termasuk Persatuan Penduduk, Surau Al-Shuhadak, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), serta semua penduduk yang telah bertungkus-lumus menjayakan program tersebut. Katanya, kejayaan majlis ini adalah hasil komitmen dan semangat kebersamaan, malah ada dalam kalangan sukarelawan yang berkorban masa dan tenaga tanpa henti demi memastikan kelancaran acara.

Menurut beliau lagi, perkara paling membanggakan adalah hubungan erat antara penduduk yang saling membantu, bertolak ansur dan hidup dalam suasana harmoni walaupun berbilang bangsa dan latar belakang. Beliau menyifatkan komuniti di DUN Sentosa sebagai sebuah keluarga besar yang sentiasa bersama dalam susah dan senang.

Mengakhiri ucapan, beliau berharap semangat perpaduan tersebut akan terus dipelihara dan diperkukuhkan, bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga sebagai contoh kepada masyarakat di seluruh negara.

Majlis tersebut berlangsung dalam suasana meriah dan penuh muhibah, mencerminkan kekuatan perpaduan komuniti di Taman Kandis Permai dan DUN Sentosa secara keseluruhan.