Ekonomi kukuh bukan kebetulan: Formula MADANI dipameran DSA & NATSEC Asia
Kerajaan menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh asas tadbir urus dan perundangan sebagai teras memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang diyakini, sejajar dengan pendekatan Ekonomi MADANI yang menekankan integriti, kestabilan dan ketelusan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perlindungan harta intelek, penguatkuasaan undang-undang serta pematuhan kontrak akan dilaksanakan secara konsisten tanpa pengecualian, sebagai asas kepada keyakinan pelabur global.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Menurutnya, kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal integriti dan ketelusan kerana faktor tersebut menjadi tunjang kepada kestabilan ekonomi serta kepercayaan pelabur terhadap negara.
“Peranan kerajaan adalah memastikan asas yang kukuh supaya aktiviti ekonomi dapat berkembang dengan baik, manakala keputusan komersial kekal di tangan industri,” katanya.
Anwar turut mengalu-alukan maklum balas daripada pemain industri sekiranya terdapat kelemahan dalam sistem pentadbiran, sambil memberi jaminan bahawa tindakan segera akan diambil bagi memperbaiki sebarang kekurangan.
Beliau menegaskan pendekatan tersebut bukan sahaja bertujuan memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, tetapi juga memastikan manfaatnya dirasai secara langsung oleh rakyat melalui peluang pekerjaan, kestabilan ekonomi dan peningkatan kesejahteraan hidup.
Dalam masa sama, penganjuran DSA dan NATSEC Asia 2026 dilihat sebagai platform penting yang mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap Malaysia, dengan edisi kali ini mencatatkan rekod penyertaan tertinggi melibatkan 1,456 syarikat dari 63 negara, meningkat berbanding 1,324 syarikat dari 60 negara pada edisi 2024.
Pameran edisi ke-19 yang berlangsung sehingga Khamis itu turut menyaksikan penyertaan sulung beberapa negara termasuk Croatia, Finland, Hungary, Jepun dan Rusia, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab strategik dalam industri pertahanan dan keselamatan serantau.
Dengan tema “Memperkasa Keupayaan dan Ketahanan Menerusi Teknologi”, pameran tersebut bukan sahaja mempamerkan kemajuan teknologi, malah menjadi simbol kepada pendekatan MADANI yang menekankan pembangunan ekonomi berasaskan kepercayaan, keupayaan dan daya tahan jangka panjang.
BACA JUGA Kenapa dunia pilih Malaysia? Ini jawapan PMX