Sepanyol mahu EU tamat perjanjian dengan Israel
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez, mengumumkan bahawa negaranya akan secara rasmi menggesa European Union(EU) menamatkan Perjanjian Persatuan dengan Israel, dengan alasan kerajaan negara itu didakwa melanggar undang-undang antarabangsa serta prinsip asas Kesatuan Eropah.
Berucap dalam satu perhimpunan, beliau menegaskan bahawa kerajaan yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa tidak seharusnya terus dianggap sebagai rakan strategik EU.
“Kerajaan yang melanggar undang-undang antarabangsa, dan oleh itu melanggar prinsip serta nilai Kesatuan Eropah, tidak boleh menjadi rakan EU. Ia semudah itu,”katanya seperti dilapor Anadolu Agency.
Sánchez turut menegaskan bahawa pendirian tersebut bukan ditujukan terhadap rakyat Israel, sebaliknya terhadap tindakan kerajaan negara berkenaan.
“Kami tidak mempunyai apa-apa terhadap rakyat Israel, tetapi kami tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan mereka,”tegasnya.
Cadangan itu dijangka dibentangkan dalam mesyuarat menteri luar EU di Luxembourg pada Selasa, dengan Sepanyol menggesa negara anggota lain menyokong langkah tersebut.
Usaha ini merupakan kesinambungan inisiatif sejak 2024 oleh Sepanyol dan Ireland untuk menilai semula perjanjian EU-Israel yang merangkumi zon perdagangan bebas serta klausa penghormatan terhadap hak asasi manusia.
Pada Mei 2025, EU bersetuju untuk mengkaji semula perjanjian itu, namun sehingga kini tiada tindakan konkrit diambil walaupun European Commission dilaporkan menemui “indikasi” kemungkinan pelanggaran kewajipan hak asasi manusia oleh Israel.
Dalam perkembangan sama, Sánchez turut mengkritik konflik melibatkan Iran yang disifatkannya sebagai satu kesilapan besar.
“Ia menelan ribuan nyawa, menyebabkan jutaan orang kehilangan tempat tinggal dan mengakibatkan kerugian ekonomi berbilion euro,”katannya.
Beliau turut menyeru agar perang dihentikan serta menggesa tindakan terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Katanya, saya meminta mereka yang memulakan perang ini untuk menghentikannya dan menghentikan Netanyahu.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, Sepanyol bersama Ireland dan Slovenia memperhebat usaha bagi memastikan isu tersebut dibahaskan secara lebih tegas di peringkat EU.
Pendirian Sepanyol itu dilihat bakal menguji keupayaan EU dalam menyeimbangkan kepentingan geopolitik dengan komitmen terhadap prinsip hak asasi manusia, selain berpotensi memberi kesan besar terhadap hubungan perdagangan dan diplomatik antara Eropah dan Israel sekiranya perjanjian tersebut ditamatkan.
BACA JUGA Kebakaran besar musnahkan ratusan rumah di Sandakan, ini keutamaan PM Anwar