Bersederhanalah untuk sambutan Jubli Perak – Sultan Selangor

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan agar Sambutan Jubli Perak sempena 25 tahun pemerintahan baginda dilaksanakan secara sederhana, dengan penekanan kepada keperluan berjimat cermat dalam menghadapi keadaan ekonomi yang mencabar.

Titah baginda, keputusan tersebut dibuat selepas berunding dengan Ahli Dewan di-Raja Selangor serta mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global yang kini memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.

Baginda menzahirkan rasa syukur kerana diberi peluang memerintah selama 25 tahun, namun menegaskan bahawa sambutan tidak wajar dilaksanakan secara berlebihan ketika rakyat sedang berdepan tekanan kos sara hidup.

“Beta mengambil maklum peruntukan telah disediakan, namun melihat kepada kegawatan ekonomi dunia dan kesusahan rakyat, maka beta memutuskan agar sambutan ini dilaksanakan secara sederhana,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor ke-15 di Dewan Negeri Selangor.

Sehubungan itu, beberapa acara utama dibatalkan termasuk majlis santapan malam diraja di Istana Alam Shah, Klang, selain pertunjukan bunga api serta konsert diraja dan konsert rakyat.

Sebagai ganti, baginda hanya memperkenankan penganjuran dua atau tiga majlis jamuan teh bersama rakyat di Padang Mahkota, Istana Alam Shah, yang dijangka melibatkan kira-kira 8,000 tetamu daripada pelbagai lapisan termasuk anak yatim, orang kurang upaya, penjawat awam, pesara serta anggota keselamatan.

Dalam masa sama, satu majlis khas turut akan diadakan bersama ketua pegawai eksekutif dan wakil syarikat asing yang melabur di Selangor sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka kepada pembangunan negeri.

Baginda turut menitahkan agar segala perbelanjaan sambutan dilaksanakan secara berhemat serta diuruskan dengan penuh ketelusan dan integriti, selain menegaskan bahawa sebarang penjimatan daripada pengurangan program hendaklah disalurkan bagi membantu golongan rakyat yang memerlukan.

“Peruntukan yang dijimatkan hendaklah digunakan untuk membantu rakyat susah dan tidak digunakan untuk tujuan lain,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga menggesa mana-mana pihak yang ingin menaja atau menyumbang agar menyalurkan sumbangan kepada Yayasan Sultan Selangor atau badan kebajikan lain supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh golongan yang memerlukan.

Dalam pada itu, baginda menzahirkan kebimbangan terhadap kenaikan harga minyak dan gas dunia serta kekurangan bekalan akibat konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada peningkatan kos sara hidup rakyat.

Sehubungan itu, baginda menasihatkan rakyat agar mengamalkan sikap berjimat cermat, manakala kerajaan negeri diingatkan supaya memberi keutamaan kepada perbelanjaan keperluan asas serta mengelakkan sebarang pembaziran.

“Setiap sen yang dibelanjakan mestilah memberi faedah sepenuhnya kepada rakyat, khususnya mereka yang terjejas dan memerlukan bantuan,” titah baginda lagi.