‘Indian Wave, Chinese Wave…’, ketahui dalang politik adu domba ini
Oleh LIYANA MARZUKI
“PRU nak dekat, sis. Politik benci dan adu domba akan makin kuat. War room hari tu dah buat ‘Indian Wave’. Gelombang India.
Mereka hire syarikat laskar siber profesional buat provokasi, lagakan kaum. Selepas ini akan ada Chinese Wave. Gelombang Melayu usah ceritalah. Setiap masa mereka akan cari point.
Belakang mereka ada paymaster Mahakaya yang nak kerajaan tumbang cepat. Paymaster tu ada kes mahkamah.”
Itu cerita yang saya terima dari beberapa little birds yang dalam industri gelap propagandis dan laskar siber. Sahih atau tidak, kita lihat nanti dulu. Dengar-dengarnya penguasa sudah tahu.
Ini bukan cerita baru. Pelbagai laporan media tempatan dan antarabangsa pernah dedahkan kewujudan industri ini.
Malaysia antara negara yang mempunyai akaun palsu tertinggi.
Buli siber kanak-kanak negara kita di tangga kelima terburuk di dunia. Ini menunjukkan anak-anak kita sudah belajar budaya mengeji dan mencela.
Makanya kita kena selalu berpada-pada. Apa sahaja dalam media sosial boleh direka.
“Curated” orang kata. Like dan follower boleh dibeli secara pukal. Bots dan cybertrooper guna akaun palsu juga boleh ditempah ikut projek.
Bagi sahaja mereka naratif apa pun, mereka akan pertahankan. Pakej dengan buli siber dan ancaman terhadap keluarga.
Siap gambar pasangan dan anak-anak digunakan jadi modal caci maki dan kejian.
Manipulasi kanak-kanak
Baru-baru ini, dalam isu bersih tandas pun, kanak-kanak sekolah digunakan. Itu sangat jelik. Manipulasi kanak-kanak untuk politik sempit.
Itu terjadi bila sudah taksub, matlamat menghalalkan cara. Salah betul belakang cerita.
100 tahun dahulu, Pendeta Zaaba sudah beri amaran. Syed Hussein Al-Attas juga sudah berpesan.
Rakyat yang malas berfikir (dipanggil ‘bebal’) akan dicari oleh pemimpin dan orang agama yang dangkal. Mudah mereka cari makan.
Jihad melawan bebalisme ini perlu dibuat oleh semua kita yang sayangkan negara dan bangsa.
Jangan sampai kita biarkan orang yang bebal dan berperangai hodoh memimpin anak kita. Rosak masa depan negara.
*LIYANA MAZUKI merupakan bekas Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara.
BACA JUGA PRN Johor & Melaka: Kerajaan tak ikut tindakan Mahiaddin isytihar darurat