Viral anggota beruniform pijak kepala lelaki, ini respon pihak polis
Sejak semalam berlegar satu video yang mencetuskan kontroversi selepas seorang anggota beruniform dilihat menahan seorang lelaki dan memijak kepala lelaki tersebut.
Dalam rakaman video itu, seorang suspek dilihat ditarik daripada motosikal sehingga terjatuh sebelum kepalanya dipijak oleh anggota terbabit.
Video tular terbabit telah sampai ke pengetahuan Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek telah melarikan diri dan melawan anggota polis ketika dalam operasi ronda cegah jenayah sehingga menunggang motosikal secara lawan arus dan membahayakan orang awam.
“Sewaktu hendak menahan suspek, berlaku pergelutan apabila suspek bertindak melawan anggota dengan menendang motosikal milik anggota polis dan melarikan diri dengan menunggang motosikal secara melulu, melawan arus dan merbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.
“Bagaimanapun anggota polis berjaya mengesan suspek di hadapan sebuah kedai aksesori motorsikal, Jalan Tunku Putra dan berjaya menahan suspek tidak lama kemudian, ” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Tengku Mohd Faisal berkata, hasil pemeriksaan motosikal yang ditunggang oleh suspek berusia 32 tahun itu menemui dua bungkus plastik lutsinar yang disyaki mengandungi air rebusan daun ketum.
Suspek telah dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dan hasil ujian saringan awal air kencing juga dapati positif dadah jenis Methampetamine.
Pihak polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987