‘Fitnah antara ladang dosa besar…’ – Menteri Agama tegur siapa?
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkongsi peringatan ringkas tentang fitnah dan mengadu domba.
Hantaran beliau itu hadir selepas Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail didapati bersalah, memfitnah kononnya menteri pendidikan melarang laungan takbir dan bacaan doa di sekolah-sekolah seluruh negara
Teguran ringkas beliau itu turut disertai tanda pagar #TolakFitnah.
“Fitnah antara ‘ladang’ dosa besar selain mengumpat & adu domba. Jaga lisan – kecil di dunia, boleh jadi berat di akhirat.
#TolakFitnah,” tulisnya ringkas.
Semalam, Zulkifli memohon maaf kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek kerana fitnah yang dibuatnya kira-kira tiga tahun lalu.
Selain wakil rakyat Pas itu, turut memohon maaf di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam adalah lidah rasmi Pas, Harakah.
Zulkifli yang juga Pesuruhjaya Pas Melaka membacakan kenyataan permohonan maaf itu kepada Fadhlina di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.
“Sebenarnya sekolah-sekolah dibenarkan melaungkan takbir dan membaca Qunut Nazilah sepanjang Minggu Solidariti Palestin.
“Oleh itu, kami memohon maaf kepada Fadhlina atas kenyataan itu dan bersetuju membayar kos sebanyak RM15,000 kepada Fadhlina,” kata wakil rakyat Pas berkenaan di mahkamah.
Dia turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa dirinya dan Harakah bersetuju menyelesaikan pertikaian dengan Fadhlina kerana ketika ini terdapat isu berkepentingan nasional yang lebih utama dan memerlukan perhatian.