MHO desak siasatan semula kes Pelaburan Mesin Layan Diri, kerugian cecah RM13.1 Juta

FOTO BERITA: Serahan dokumen oleh MHO berhubung pelabur dakwa diitipu Skim Mesin Kopi & Vending, desak Peguam Negara bertindak di Jabatan Peguam Negara, No. 45, Persiaran Perdana Presint 4, Putrajaya. 21hb April 2026 (Selasa)

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini menggesa pihak Jabatan Peguam Negara Malaysia agar segera mengambil tindakan berhubung dakwaan penipuan melibatkan skim pelaburan mesin kopi dan mesin layan diri yang mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.

Dalam satu sidang media yang diadakan di hadapan ibu pejabat Jabatan Peguam Negara Malaysia di Presint 4, Putrajaya, Setiausaha Agung MHO, Hishamuddin Hashim berkata, seramai 205 mangsa terlibat dalam dua skim pelaburan berasingan yang dipercayai dijalankan oleh dua syarikat berbeza.

Menurut beliau, kedua-dua program pelaburan itu melibatkan mesin layan diri dan mesin kopi yang dipromosikan secara meluas melalui media sosial. Jumlah keseluruhan kerugian yang direkodkan mencecah RM13,115,784.84.

“Mangsa-mangsa mengesyaki mereka telah diperdaya untuk menyertai skim pelaburan tersebut yang menjanjikan pulangan lumayan, namun akhirnya mengalami kerugian besar,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, selepas mangsa hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Polis Diraja Malaysia negeri Selangor pada Disember 2025 bagi mendapatkan perkembangan terkini, mereka mendakwa tidak menerima sebarang maklum balas lanjut daripada pihak berkuasa.

Sehubungan itu, kehadiran mangsa bersama MHO hari ini adalah bagi memohon pertimbangan dan budi bicara pihak Jabatan Peguam Negara Malaysia untuk mengarahkan siasatan semula dijalankan selaras dengan keputusan terdahulu pihak pendakwaan negeri.

“Mangsa tidak berniat menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya hanya mengharapkan penjelasan dan tindakan sewajarnya agar keadilan dapat ditegakkan,” katanya lagi.

Tambah beliau, semua mangsa bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan lancar dan menyeluruh.