PMKS dapat ‘talian hayat’, kelonggaran e-Invois – Anwar

Kerajaan MADANI mengumumkan beberapa langkah segera bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menghadapi tekanan kos serta ketidaktentuan global, termasuk jaminan pembiayaan sehingga RM5 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah tersebut hasil libat urus bersama usahawan pelbagai kaum bagi memastikan kelangsungan perniagaan dalam situasi ekonomi semasa yang mencabar.

Menurut beliau, di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), kerajaan menyediakan jaminan sehingga 80 peratus pembiayaan dengan tempoh sehingga 10 tahun bagi PMKS yang terjejas.

“Kerajaan juga akan memudahkan proses penstrukturan semula pinjaman serta membantu bayaran balik bagi meringankan beban kewangan syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, kerajaan turut memberikan kelonggaran terhadap pelaksanaan e-Invois dengan tempoh peralihan tambahan selama 12 bulan sehingga 31 Disember 2027, khususnya melibatkan perniagaan dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta.

Langkah itu dilihat sebagai usaha memberi ruang kepada PMKS menyesuaikan operasi mereka tanpa menjejaskan kelangsungan perniagaan.

Dalam pada itu, kerajaan juga bersetuju memberi pengecualian duti import bagi pengimportan semula barangan buatan Malaysia sehingga 31 Disember 2026, sebagai langkah memudahcara perniagaan yang terkesan akibat konflik di Asia Barat.

Anwar berkata pendekatan tersebut bertujuan memastikan sektor PMKS terus berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global, termasuk gangguan rantaian bekalan dan kenaikan kos tenaga.

Beliau menegaskan bahawa keutamaan kerajaan ketika ini adalah melindungi perniagaan tempatan serta memastikan ekonomi negara kekal stabil.

“Dalam ketidaktentuan yang semakin meruncing, kita mesti pastikan PMKS terus bertahan, ekonomi kekal berdaya tahan dan rakyat dilindungi,” katanya.

BACA JUGA “Top up RM100 lagi!” – Bantuan BUDI diesel kini RM400, disalur hari ini