Selangor dah simpan 5,000 tan beras, sasar naik 15,000 tan

Selangor kini mempunyai simpanan kira-kira 5,000 tan beras yang mampu menampung keperluan penduduk sehingga dua bulan, dalam usaha memperkukuh daya tahan makanan negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri sedang mempergiat usaha meningkatkan kapasiti simpanan itu kepada 15,000 tan bagi memastikan bekalan mampu bertahan sehingga enam bulan.

“Simpanan beras yang telah dikumpul dalam tempoh dua tahun selepas memperkenalkan polisi Gudang Makanan Selangor adalah lebih 5,000 tan dan kita akan mempergiatkan untuk menambah menjadi 15,000 tan,” katanya pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menurut beliau, jumlah simpanan sedia ada sudah cukup untuk menampung keperluan antara sebulan setengah hingga dua bulan walaupun tanpa bekalan import.

“Kalau dapat tingkatkan sehingga 15,000 tan, bermakna kita boleh capai antara lima hingga enam bulan kemampuan daya tahan makanan asas rakyat,” katanya lagi.

Kenyataan itu dibuat susulan kebimbangan terhadap kesan konflik di Asia Barat yang berpotensi mengganggu rantaian bekalan makanan global, termasuk import beras.

Selain beras, Amirudin berkata Gudang Makanan Selangor (GMS) turut menyimpan sumber protein seperti daging dan ikan bagi memastikan keperluan pemakanan seimbang rakyat terus terjamin.

Sementara itu, EXCO Pertanian, Datuk’ Ir Izham Hashim sebelum ini memberi jaminan bahawa bekalan makanan kecemasan di negeri itu mencukupi untuk menampung kira-kira 20 peratus keperluan penduduk setiap bulan sehingga hujung tahun.

Kerajaan negeri turut merancang untuk meningkatkan kapasiti simpanan meliputi makanan ruji dan protein kepada 40 peratus keperluan bulanan menjelang tahun depan, sebagai langkah memperkukuh keselamatan makanan negeri dalam jangka panjang.

BACA JUGA PMKS dapat ‘talian hayat’, kelonggaran e-Invois – Anwar