Tanam dalam bangunan, Selangor rintis ‘smart farming’

Selangor terus mengorak langkah sebagai peneraju pertanian moden apabila seramai 9,200 pengusaha kini terlibat dalam sektor ‘smart farming’ merangkumi tanaman sayuran, buah-buahan dan padi.

EXCO Pertanian, Datuk Izham Hashim, berkata kerajaan negeri giat mempromosikan konsep tanaman berteknologi tinggi termasuk plant factory atau kilang tanaman sebagai antara pendekatan baharu meningkatkan hasil makanan.

“Konsep ‘plant factory’ ini merupakan tanaman dalam bangunan yang dikawal sepenuhnya secara atas talian menggunakan teknologi internet kebendaan (IoT),” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menurutnya, kaedah tersebut membolehkan tanaman dihasilkan dalam tempoh lebih singkat dengan hasil yang lebih tinggi berbanding kaedah konvensional.

“Tanaman dalam bangunan yang dikawal secara atas talian mampu memberikan hasil yang lebih banyak dalam jangka masa yang singkat,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung langkah kerajaan negeri dalam menjamin keselamatan makanan ketika ketidaktentuan global.

Setakat ini, sebanyak 11 syarikat telah mengusahakan konsep kilang tanaman dengan kerjasama Jabatan Pertanian Selangor, manakala Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat turut melaksanakan projek tanaman cili melibatkan 260,000 polibeg, termasuk 16,000 menggunakan sepenuhnya sistem IoT.

Dalam masa sama, Izham menggalakkan penggunaan tanah sedia ada di kawasan bandar untuk pembangunan kebun komuniti sebagai usaha memperluas pengeluaran makanan secara tempatan.

Katanya, terdapat 231 kebun komuniti aktif di Selangor, dengan sebahagiannya menggunakan teknologi moden seperti sistem perlindungan hujan (SPH) dan IoT bagi mengawal baja serta air.

“Kaedah ini membolehkan hasil yang tinggi diperoleh walaupun menggunakan kawasan tanah yang lebih kecil,” katanya.

Langkah tersebut selari dengan inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi memperluas pertanian berskala besar dan mengurangkan kebergantungan negara terhadap import makanan.

Pendekatan pertanian moden ini dilihat sebagai antara strategi penting bagi memastikan keterjaminan makanan negara kekal kukuh, khususnya dalam menghadapi cabaran global yang semakin tidak menentu.

BACA JUGA “Top up RM100 lagi!” – Bantuan BUDI diesel kini RM400, disalur hari ini