Projek MADANI seperti jalan, sekolah, klinik di Johor semua lancar – KKR 

Kementerian Kerja Raya (KKR) menegaskan komitmen memastikan projek pembangunan di bawah Kerajaan MADANI memberi manfaat langsung kepada rakyat, menerusi lawatan pemantauan ke beberapa projek di daerah ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Ahmad Maslan, berkata lawatan tersebut bertujuan menilai pelaksanaan projek serta memastikan penyampaian perkhidmatan berjalan lancar di peringkat akar umbi.

“Kita mahu pastikan pembangunan jalan, jambatan, bangunan awam dan fasiliti pendidikan dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat,” katanya selepas meninjau projek bersama pegawai KKR dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kota Tinggi.

Menurut beliau, kerja penyelenggaraan di daerah itu melibatkan Jalan Persekutuan sepanjang 772.91 kilometer dan Jalan Negeri 135.59 kilometer, merangkumi kerja turapan, saliran, pembetung serta cerun.

Sehingga April tahun ini, sebanyak RM42.863 juta diperuntukkan bagi penyelenggaraan Jalan Persekutuan, termasuk pembaikan jalan, sistem perparitan serta penambahbaikan kemudahan jalan.

Dalam masa sama, tiga projek jalan Persekutuan bernilai RM10 juta dan satu projek mitigasi banjir bernilai RM2.3 juta sedang dilaksanakan.

“Semua projek ini perlu disiapkan mengikut jadual, mematuhi piawaian keselamatan dan kualiti supaya impaknya dapat dirasai terus oleh rakyat,” katanya lagi.

Selain itu, sebanyak 10 projek bangunan Persekutuan bernilai RM85.7 juta dan satu projek negeri bernilai RM2 juta turut dilaksanakan, melibatkan pembinaan mahkamah, klinik kesihatan, sekolah sukan, masjid serta institusi latihan kemahiran.

KKR juga merancang projek baharu di kawasan Pengerang bagi menyokong pertumbuhan penduduk susulan pembangunan Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC).

Dalam sektor pendidikan, sebanyak 24 projek tambahan blok sekolah akan dilaksanakan secara berperingkat sebagai persediaan kemasukan murid enam tahun ke Darjah 1 pada 2027, menggunakan kaedah pembinaan modular dan Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Langkah tersebut dilihat sebagai usaha mempercepat pembangunan infrastruktur asas, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi setempat serta meningkatkan kualiti hidup rakyat di kawasan terlibat.