RM200 juta sehari subsidi bahan api, ramai tak tahu kerajaan tanggung beban fiskal amat besar
Beban fiskal yang ditanggung kerajaan kini amat besar apabila subsidi bahan api mencecah kira-kira RM200 juta sehari, bersamaan RM2,300 setiap saat, kata Penasihat Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein.
Beliau berkata, angka tersebut menggambarkan skala sebenar tekanan kewangan yang sedang ditanggung negara.
Tekanan itu, jelasnya, berpunca daripada usaha mengekang kenaikan kos hidup dan inflasi susulan ketidaktentuan bekalan serta harga minyak global.
“Setiap saat kita bakar RM2,300 untuk subsidi bahan api. Itu bersamaan kira-kira RM200 juta sehari. Bebannya amat berat.
“Dari segi harga dan inflasi, kita banyak dilindungi dengan subsidi minyak, khususnya diesel. Tetapi ia bukan sesuatu yang mampan untuk jangka masa lama,” katanya, dipetik Awani.
Nurhisham berkata, kerajaan sedang meneliti langkah penjimatan perbelanjaan dalam tempoh satu hingga dua minggu akan datang.
Dalam masa sama, beliau mengakui bahawa Malaysia masih belum bersedia sepenuhnya untuk menghadapi sebarang krisis bekalan atau geopolitik yang berpanjangan, walaupun negara banyak belajar daripada pengalaman lalu termasuk pandemik Covid-19 serta konflik Rusia-Ukraine.
“Kalau saya nak katakan kita bersedia sepenuhnya, saya kata tidak.
“Ada beberapa sektor dan industri yang memang tidak dapat kita lindungi sepenuhnya,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat serta sektor perniagaan supaya bersama-sama mengamalkan penggunaan tenaga secara lebih berhemat.
Katanya lagi, amalan penjimatan bahan api di peringkat individu dan industri mampu membantu mengurangkan tekanan keseluruhan terhadap kewangan negara.
BACA JUGA PM santuni mangsa kebakaran dahsyat di Sandakan hari ini