Bank Rakyat sokong peralihan kuasa, pasang 20 pengecas EV 

Bank Rakyat menjadi antara institusi kewangan terawal menyediakan kemudahan pengecas kenderaan elektrik (EV) di premisnya, dengan pelancaran 20 stesen pengecas EV di Menara Kembar Bank Rakyat, Jalan Rakyat.

Inisiatif itu dilaksanakan melalui kerjasama dengan Cenergi SEA Berhad dan Recharge Xolutions, sebagai sebahagian usaha menyokong peralihan negara ke arah tenaga bersih dan lestari.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, langkah itu bertujuan menggalakkan penggunaan EV dalam kalangan rakyat, di samping memperkukuh peranan institusi kewangan dalam agenda kelestarian negara.

“Inisiatif ini bukan sahaja menyokong peralihan kepada tenaga lebih bersih, malah selari dengan aspirasi negara untuk mencapai sasaran Net Zero menjelang 2050,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan kemudahan tersebut juga berkait rapat dengan usaha kerajaan menangani cabaran krisis bekalan global melalui pendekatan tenaga mampan yang lebih stabil dan berdaya tahan.

Pelancaran itu yang bersempena sambutan Hari Bumi turut mencerminkan komitmen Bank Rakyat dalam mengurangkan jejak karbon serta memperluas inisiatif hijau dalam operasi hariannya.

Dalam masa sama, kerjasama dengan Cenergi SEA Berhad merupakan kesinambungan kepada projek pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) di beberapa cawangan terpilih, bagi meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan tenaga.

Selain itu, Bank Rakyat turut memperkukuh peranan dalam pembiayaan hijau dengan menawarkan produk kewangan kepada pelanggan runcit dan perniagaan, termasuk sokongan kepada gaya hidup mesra alam serta peralihan kepada teknologi rendah karbon.

Bank berkenaan juga giat melaksanakan inisiatif ke arah pensijilan Green Building Index (GBI) melalui peningkatan kecekapan tenaga dan pengurusan fasiliti mampan di premisnya.