Air tak selesai?” Adun Kota Lama desak pelan jelas kerajaan Kelantan
Isu bekalan air yang berlarutan serta kelemahan tadbir urus projek menjadi antara kritikan utama dibangkitkan Adun Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim dalam persidangan Dewan Negeri Kelantan.
Beliau berkata rakyat masih berdepan masalah tekanan air rendah, air keruh serta gangguan berulang sehingga terpaksa menanggung kos sendiri, sambil mempersoalkan kekeliruan garis masa penyelesaian yang berubah-ubah daripada 2025 ke 2028, malah sehingga 2050.
“Rakyat mahukan kejujuran dan pelan jelas, bukan sekadar janji umum,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut membangkitkan teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara terhadap projek pembangunan seperti Islamic City atau Madinatussalam yang didakwa lewat disiapkan dan gagal mencapai objektif.
Menurutnya, kelewatan itu memberi kesan kepada ekonomi negeri termasuk kehilangan peluang pekerjaan serta menjejaskan keyakinan pelabur.
Dr Hafidzah menuntut pelan pemulihan yang jelas serta penambahbaikan dalam aspek pemilihan kontraktor, pemantauan projek dan kawalan kos bagi mengelakkan isu sama berulang.
Selain itu, beliau turut menyentuh potensi pelancongan negeri yang boleh diperkukuh menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, namun memberi peringatan bahawa isu imej seperti aktiviti mat rempit perlu ditangani secara konsisten.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap peningkatan kes jenayah seksual termasuk rogol dan sumbang mahram, yang menunjukkan trend peningkatan ketara.
Beliau menggesa langkah menyeluruh termasuk memperkasa institusi seperti Mahkamah Syariah, pendidikan pencegahan serta program pemulihan bagi menangani isu sosial tersebut.
Mengakhiri perbahasan, Dr Hafidzah menegaskan bahawa rakyat kini tidak lagi mahu janji, sebaliknya menuntut tindakan, kecekapan dan ketelusan daripada kerajaan negeri.
BACA JUGA Malaysia dicontohi lebih maju urus data rakyat, agih subsidi bahan api pun mudah