Minyak turun lagi! – Diesel jatuh 85 Sen, RON95, RON97 turut susut
Harga runcit bahan api(tanpa subsidi) di Semenanjung Malaysia mencatat penurunan minggu ini apabila diesel, RON95 dan RON97 masing-masing turun susulan penyusutan harga pasaran global.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan harga diesel turun sebanyak 85 sen kepada RM5.12 seliter, manakala RON97 turun 25 sen kepada RM4.85 seliter dan RON95 susut 15 sen kepada RM3.87 seliter bagi tempoh 23 hingga 29 April 2026.
“Penurunan harga minggu ini adalah selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) yang mengambil kira purata harga pasaran minggu terdahulu,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, kerajaan menjelaskan bahawa harga petroleum masih berada pada paras tinggi berbanding sebelum konflik di Asia Barat, yang terus memberi tekanan kepada pasaran tenaga global.
Dalam masa sama, kerajaan mengekalkan harga bersubsidi secara bersasar bagi kumpulan tertentu, termasuk RON95 (BUDI95) pada RM1.99 seliter serta diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pada RM2.15 seliter.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa ketidaktentuan pasaran masih berterusan berikutan gangguan rantaian bekalan dan logistik global, yang memerlukan masa untuk kembali stabil.
“Kerajaan akan terus memantau rapi perkembangan semasa dan mengambil langkah bagi memastikan keterjaminan bekalan bahan api serta melindungi rakyat daripada impak turun naik harga,” menurut kementerian lagi.
Penurunan harga ini dilihat memberi sedikit kelegaan kepada pengguna dan sektor perniagaan, namun kerajaan menggesa rakyat agar terus menggunakan bahan api secara berhemah dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa.