BDR sektor awam, penjimatan minyak cecah RM678,000
Pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) dalam sektor awam berjaya menjimatkan kira-kira 334,000 liter minyak bersamaan RM678,000 dalam tempoh seminggu sejak 15 April, menurut kerajaan.
Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata inisiatif itu melibatkan sekitar 155,000 penjawat awam, sekali gus menunjukkan potensi besar penjimatan kos melalui pendekatan kerja lebih fleksibel.
Menurutnya, dalam mesyuarat Jemaah Menteri, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keperluan pendekatan menyeluruh di semua kementerian bagi mengoptimumkan penggunaan bahan api.
“Ini termasuk melaksanakan lebih banyak mesyuarat secara dalam talian, mengurangkan mesyuarat bersemuka serta mengehadkan perjalanan, termasuk ke luar negara,” katanya dalam sidang media mingguan.
Fahmi berkata langkah itu turut melibatkan penggunaan premis kerajaan bagi penganjuran bengkel dan latihan, sebagai usaha mengurangkan kos operasi secara keseluruhan.
Dalam masa sama, Ketua Setiausaha Negara diminta mendapatkan maklumat daripada sektor swasta mengenai pelaksanaan BDR bagi menilai potensi penjimatan secara lebih menyeluruh di peringkat nasional.
Langkah berkenaan dilihat sebagai sebahagian usaha kerajaan untuk meningkatkan kecekapan perbelanjaan serta mengurangkan kebergantungan kepada bahan api dalam keadaan kos tenaga global yang tidak menentu.