Fitnah dulu, maaf kemudian, ini budaya politik apa – soal AMK
Angkatan Muda Keadilan (AMK) menegaskan bahawa kesan fitnah dalam politik tidak boleh dipadam hanya dengan permohonan maaf, susulan kontroversi melibatkan tuduhan terhadap Menteri Pendidikan.
Ketuanya, Kamil Munim, berkata penyebaran maklumat tidak benar mampu merosakkan reputasi, mencetuskan kebencian serta mengelirukan rakyat dengan naratif palsu.
“Fitnah dalam politik ibarat racun. Sekali tersebar, ia rosakkan reputasi, cetus kebencian dan memperdaya rakyat dengan cerita yang direka,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu merujuk kepada permohonan maaf oleh Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Zulkifli Ismail, terhadap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berhubung dakwaan tidak benar berkaitan isu keagamaan pada 2023.
Menurut Kamil, tuduhan yang mengaitkan larangan bertakbir dan bacaan Qunut Nazilah sempena Minggu Solidariti Palestin bukan sahaja tidak tepat, malah disifatkan sebagai cubaan memainkan sentimen agama untuk kepentingan politik.
“Fitnah ini berlegar hampir tiga tahun. Dalam tempoh itu, berapa ramai rakyat sudah terpengaruh dengan cerita yang tidak benar?” katanya.
Beliau turut mempersoalkan kesan jangka panjang terhadap persepsi awam, termasuk kepercayaan terhadap institusi pendidikan serta reputasi individu yang terlibat.
Dalam masa sama, Kamil berkata tindakan menyebarkan maklumat tidak sahih secara berulang oleh pelbagai pihak, termasuk jentera politik, menunjukkan betapa seriusnya isu tersebut.
“Permohonan maaf tidak akan memadam sepenuhnya kerosakan yang telah berlaku. Persepsi negatif yang terbina bertahun-tahun tidak akan hilang begitu sahaja,” katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan bahawa amalan “fitnah dahulu, mohon maaf kemudian” tidak wajar dinormalisasikan dalam politik kerana ia hanya akan merosakkan integriti sistem demokrasi.
Menurutnya, politik matang menuntut kejujuran dan tanggungjawab, bukan manipulasi fakta atau eksploitasi sentimen agama.
Kamil menegaskan bahawa tanpa tindakan tegas, kitaran penyebaran fitnah akan terus berulang, sekali gus merugikan rakyat dan mencemarkan budaya politik negara.