Bila Timur Tengah ‘panas’, Pulau Pinang tiba-tiba jadi Plan B dunia?
Pulau Pinang menyaksikan lonjakan luar biasa dalam ketibaan kapal persiaran, tempahan hotel dan penganjuran acara antarabangsa sejak kebelakangan ini satu fenomena yang dikaitkan dengan ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah.
Melihat satu ulasan di Tiktok yang disusun oleh Mohammad Alif Zabri menceritakan perubahan laluan logistik global serta sekatan ruang udara di rantau bergolak telah mendorong syarikat pelayaran, penganjur acara dan pelabur antarabangsa untuk mencari lokasi alternatif yang stabil dan Pulau Pinang muncul antara pilihan utama.
Syarikat pelayaran dari Eropah yang lazimnya menjadikan Timur Tengah sebagai destinasi musim sejuk kini dilaporkan mengelak laluan Terusan Suez berikutan peningkatan risiko keselamatan dan kos insurans.
Sebaliknya, laluan dialihkan melalui Tanjung Harapan (Cape of Good Hope), menjadikan perjalanan lebih panjang sehingga dua minggu.
Perubahan ini memaksa kapal mencari pelabuhan persinggahan baharu yang selamat, cekap dan kos efektif dengan Swettenham Pier di George Town antara yang mendapat manfaat.
“Bila laluan asal jadi mahal dan berisiko, operator tak ada pilihan selain ubah strategi,” katanya.
Dalam masa sama, penutupan atau sekatan ruang udara di beberapa kawasan Timur Tengah turut menjejaskan model “fly-cruise”, di mana pelancong biasanya terbang ke hab seperti Dubai sebelum menaiki kapal persiaran.
Kesan daripada itu, sektor pelancongan dan acara antarabangsa terpaksa mencari lokasi alternatif yang mempunyai akses penerbangan stabil serta pelabuhan aktif.
Pulau Pinang dilihat memenuhi kedua-dua keperluan tersebut melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas dan kemudahan pelabuhan yang masih beroperasi penuh.
“Industri tak boleh tunggu. Bila satu rantau tak stabil, mereka akan pivot ke tempat lain yang sudah siap,” katanya yang memetik sumber industri.
Ketidaktentuan geopolitik turut memberi kesan kepada rantaian bekalan global, mendorong syarikat multinasional menilai semula lokasi operasi mereka.
Pulau Pinang, dengan ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) yang matang serta inisiatif seperti PSDC dan AI Sandbox, dilihat sebagai destinasi “plug-and-play” yang sedia menerima pelaburan.
Seorang pemimpin negeri sebelum ini memberi amaran bahawa kos logistik dan tenaga dijangka meningkat sekiranya konflik berlarutan mendorong syarikat mempercepat pelaksanaan pelan alternatif.
Bila dunia tak stabil, syarikat tak cari tempat baru mereka cari tempat yang sudah stabil.
Walaupun situasi ini membuka peluang ekonomi kepada Pulau Pinang, pihak industri memberi peringatan bahawa ia turut datang dengan cabaran tersendiri.
Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dilaporkan menggesa kerajaan supaya mengawal tarif pelabuhan, menstabilkan kos elektrik serta memastikan subsidi bahan api bagi mengurangkan tekanan kos operasi.
Ini kerana sebarang kenaikan kos global akan memberi kesan langsung kepada ekonomi domestik.
Pemerhati menyifatkan peningkatan aktiviti di Pulau Pinang bukan sekadar fenomena pelancongan biasa, tetapi refleksi langsung perubahan geopolitik global.
Daripada kapal persiaran yang menukar laluan, kepada acara antarabangsa yang bertukar lokasi, hingga pelabur yang menyusun semula strategi semuanya berpunca daripada ketidakstabilan di rantau lain.
Perang berlaku di sana, tetapi kesannya dirasai di sini.