“Kita lebih bodoh dari Malaysia” – Ahli politik Indonesia berang KTP gagal tandingi MyKad

Seorang ahli politik Indonesia baru-baru ini secara terbuka mengkritik hebat pemerintah mereka kerana gagal memanfaatkan fungsi kad pengenalan mereka, E-KTP yang dianggap masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan Malaysia.

Perkara itu dibangkitkan Ahli Suruhanjaya II DPR RI (Dewan Perwakilan Rakyat), Deddy Sitorus dalam satu mesyuarat jawatankuasa baru-baru ini ketika mengkritik hebat Timbalan Menteri Dalam Negeri Indonesia, Bima Arya.

Beliau menekankan bagaimana Malaysia kini menggunakan MyKad untuk mengenal pasti rakyatnya yang layak mendapat subsidi RON95.

Dengan hanya menggunakan kad pengenalan, sistem di petrol pam boleh mengesan identiti pengguna termasuk kuota liter untuk setiap rakyat, sekali gus mengekang ketirisan.

Beliau memuji bagaimana kerajaan Malaysia memaksimakan kecanggihan kad pengenalan dalam urusan harian rakyat bagi menyalurkan bantuan bulanan, bantuan tahunan sehinggalah bantuan subsidi minyak kepada rakyat.

Dibandingkan pula dengan Indonesia, rakyat masih kerap diminta menyediakan salinan fotostat KTP, Kad Keluarga (KK), surat beranak, sehinggalah ke surat baptis, ketika ingin berurusan dengan perkhidmatan kerajaan yang paling asas.

“Indonesia sudah mempunyai KTP dari 2011. Selama 15 tahun, cipnya masih belum dipakai buat apa-apa yang meaningful.

“Masalahnya bukan teknologi. Teknologinya sudah ada di KTP kita semua. Masalahnya ada pada political will sahaja,” kata seorang pengulas politik dalam satu video yang ditayangkan oleh Deddy Sitorus kepada ahli-ahli Dewan.

“Kita harus merenung sedikitlah. Bila kita nak belajar? Kita kalau urusan membazirkan duit itu paling juara,” kata Deddy Sitorus selepas video tersebut selesai dimainkan.

Mengulas lanjut beliau berkata, sekiranya sistem ID tunggal digunakan secara berkesan, KTP tersebut boleh digunakan untuk semua urusan, tanpa perlu membuang bajet yang membebankan setiap tahun.

Dalam kritikan pedasnya, pemimpin kelulusan Universiti Simalungun ini menegaskan bahawa kunci masalah tersebut berbalik kepada soal keazaman politik (political will).

Beliau tanpa berselindung menyebut secara lantang — “Entah bila kita mahu selesaikan. Kita harus akui kita lebih bodoh daripada orang Malaysia dalam urusan ini, kerana ia tidak pernah selesai.”

BACA JUGA Minyak turun lagi! – Diesel jatuh 85 Sen, RON95,  RON97 turut susut