MyKad hilang dalam kebakaran? PMX umum ganti percuma 

Mangsa kebakaran di Kampung Bahagia Batu Sapi kini tidak perlu risau kehilangan dokumen penting apabila kerajaan mengumumkan penggantian percuma bagi dokumen pengenalan diri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bantuan itu melibatkan dokumen seperti sijil kelahiran, MyKid, MyKad, sijil kematian dan sijil perkahwinan bukan Islam.

Menurutnya, proses penggantian akan dilaksanakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara melalui perkhidmatan bergerak MEKAR (Menyemai Kasih Rakyat), dengan pegawai turun terus ke lokasi mangsa.

“Wakil jabatan akan ke kawasan ini untuk mendaftar. Kita ada rekod, jadi tidak timbul isu orang bukan warganegara mengambil kesempatan,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara.

Terdahulu, Anwar meluangkan masa kira-kira 30 minit menyantuni mangsa di PPS Dewan PPR Batu Sapi, selepas kebakaran besar awal pagi Ahad lalu memusnahkan kira-kira 1,000 rumah dan menjejaskan lebih 9,000 penduduk.

Turut mengiringi beliau ialah Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mustapha Sakmud serta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Langkah itu dilihat sebagai usaha segera kerajaan memastikan urusan harian mangsa tidak terjejas, khususnya melibatkan akses kepada perkhidmatan asas yang memerlukan dokumen pengenalan diri.