Menteri Agama hadiahkan tajaan 2 tiket umrah, memang rezeki Abang Minyak Hitam Jalanan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menghadiahi individu dikenali sebagai ‘Abang Minyak Hitam Jalanan’ tajaan dua tiket penerbangan umrah atas keikhlasan hati mekanik berkenaan.
Menurut Zulkifli, hadiah itu diberikan memandangkan Abang Minyak Hitam Jalanan atau nama sebenarnya, Mohd Yusof Mohd Noor, tidak pernah lagi mengerjakan ibadah haji atau umrah.
“Saya tanya abang Yusof tadi, sudah pernah pergi umrah atau haji dan katanya belum lagi.
“Jadi, hari ini saya nak umumkan kita hadiahkan dua tiket penerbangan umrah.
“Terpulang kepada beliau nak pilih siapa nak ikutnya,” katanya pada sidang media haji bersama sebuah TV Alhijrah, di ibu negara, semalam.
Sebelum ini, Mohd Yusof sering menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan, sekali gus meraih perhatian ramai di media sosial.
Baru-baru ini, video Abang Minyak Hitam Jalanan tular sekali lagi apabila membantu individu berbangsa Cina dikenali sebagai Dicky Yau yang mengalami kerosakan motosikal tanpa meminta wang bayaran.
Malah, Yusof yang memiliki akaun TikTok atas nama Abang Minyak Hitam itu, turut menghulurkan wang infak kepadanya.
Sementara itu, Mohd Yusof berkata, semua yang dilakukan itu adalah semata-mata kerana Allah SWT.
“Saya tak meminta apa-apa, ini semua rezeki. Saya pun tak tahu nak cakap apa kerana tak menjangkakan perkara ini boleh sampai ke tahap ini.
“Saya cuma jalankan amanah orang yang menginfak dan melakukan tanggungjawab sebagai pekerja.
“Saya tak mahu memegang duit infak terlalu banyak, takut tersalah pakai atau gelap mata,” kata beliau lagi.
BACA JUGA Akibat ingkar perintah tribunal tuntutan, pemilik syarikat umrah ini dipenjara sembilan bulan