“Ada 120 calon?” PM beri bayangan pelantikan baharu KP SPRM
Secara berseloroh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan terdapat sekitar 120 calon layak bagi mengisi jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ketika proses pemilihan kini di peringkat akhir.
Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan bersama Sultan Ibrahim dalam satu pertemuan di Istana Pasir Pelangi, namun pengumuman rasmi akan dibuat kemudian.
“Nama yang layak ada 120,” katanya berseloroh ketika ditemui pemberita.
Anwar bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut, selain memberi bayangan keputusan muktamad akan diumumkan dalam masa terdekat.
Ketika ini, jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM masih disandang Tan Sri Azam Baki, yang kontraknya dijadualkan tamat pada 12 Mei ini selepas beberapa kali pelantikan semula sejak 2023.
Sehari sebelum itu, Sultan Ibrahim bertitah baginda akan memilih calon terbaik bagi menerajui SPRM, sambil menegaskan jawatan tersebut amat penting dalam memastikan keberkesanan usaha membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Baginda turut mengingatkan agar proses pelantikan itu tidak dipolitikkan, memandangkan SPRM merupakan institusi utama negara dalam memelihara integriti pentadbiran.
Perkembangan ini dijangka terus menjadi tumpuan, khususnya dalam menentukan hala tuju kepimpinan agensi antirasuah negara selepas tamat tempoh perkhidmatan penyandang sedia ada.
BACA JUGA AMANAH lancar gerakan laporan polis, bidas fitnah kaitkan parti dengan siasatan dana zakat